Khamis, 6 Ogos 2009

Kuin, SMK Lembah Bidong diarah tutup

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Dua lagi institusi pendidikan ditutup selama seminggu bermula semalam berikutan penularan wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Alor Setar, Kedah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, Terengganu ditutup sehingga 12 Ogos ini apabila pelajar institusi pendidikan terbabit dijangkiti H1N1.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata Kuin yang mempunyai 3,000 penuntut, ditutup lapan hari sehingga 12 Ogos ini, selepas 170 daripada pelajarnya, termasuk lima pelajar luar negara dikuarantin akibat terkena jangkitan penyakit seperti H1N1, sejak Selasa lalu.

Beliau berkata, 170 pelajar itu dikuarantin di asrama masing-masing dan sedang diberi rawatan serta pengawasan rapi bagi menyekat penularan gejala itu.

Katanya, jangkitan itu dikesan selepas Kuin selesai melaksanakan majlis istiadat konvokesyen ke-11, Isnin lalu dan keadaan itu menyebabkan pihak pengurusan kolej membatalkan semua aktiviti.

Azizan berkata, arahan menutup kampus berkenaan hanya membabitkan asrama pelajar di kampus induk di Mergong, Alor Setar dan tidak membabitkan sebuah lagi kampus cawangan di Sungai Petani.

Sementara itu, Rektor Kuin, Prof Datuk Dr Jamil Osman, berkata sehingga petang semalam hanya 55 daripada 170 penuntut masih dikuarantin untuk mendapat rawatan selanjutnya.

Sementara itu, SMK Lembah Bidong ditutup apabila empat pelajarnya disahkan positif H1N1, manakala lebih 600 pelajar lagi disyaki mempunyai gejala wabak berkenaan.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Kipayatul Allah Mohd Said, berkata semua pelajar yang disyaki dijangkiti H1N1 sudah menjalani pemeriksaan doktor dan diambil sampel darah untuk pemeriksaan lanjut.

"Berikutan itu, sekolah ditutup selama seminggu dan semua aktiviti akademik serta aktiviti lain dalam sekolah yang dijadualkan dalam tempoh seminggu ini terpaksa dibatalkan," katanya.

Di SEREMBAN, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata sebanyak 13 sekolah di negeri ini sudah diarahkan tutup sehingga kini sebagai langkah keselamatan berikutan penularan virus H1N1.

Beliau bagaimanapun berkata, penularan virus itu masih terkawal dan berharap rakyat tidak panik kerana negeri itu mempunyai pakar untuk merawat pesakit H1N1.

Tiada ulasan: