Ahad, 9 Ogos 2009

Kubur misteri didapati tiada jasad

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar


JASIN: Keraguan penduduk di Kampung Nyalas dan Kampung Masjid Baru Gubah, Nyalas dekat sini, mengenai kewujudan kubur misteri di Tanah Perkuburan Islam Bukit Palembang terjawab selepas kerja menggali selama 10 minit mendapati kubur itu kosong.

Kewujudan kubur yang mempunyai nisan kayu dibaluti kain putih sejak minggu lalu itu menimbulkan tanda tanya penduduk setempat kerana ia berada dalam kawasan semak kira-kira 20 meter berhampiran tanah perkuburan berkenaan.

Penduduk di situ dipercayai bimbang kubur itu digunakan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan pengebumian secara haram atau digunakan sebagai tempat menyembunyikan sesuatu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam, berkata pihaknya menerima aduan mengenai penemuan kubur itu kira-kira jam 11.15 pagi kelmarin.

“Selepas menerima laporan, kerja menggali kubur sepanjang 0.3 meter ini dilakukan bermula jam 10.20 pagi membabitkan Unit Pa-tologi dari Hospital Melaka bersama penduduk kampung dengan disaksikan Majistret Muhamad Faizal Ismail dari Mahkamah Ayer Keroh.

“Bagaimanapun, kira-kira 10 minit kerja menggali dilakukan, ia dihentikan kerana tiada sebarang objek ditemui dalam kubur berkenaan dan polis menutup kes ini. Kewujudan kubur ini dipercayai bagi melakukan amalan pemujaan dan saya berharap Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dapat menyiasat perkara ini selanjutnya," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tiada ulasan: