Isnin, 10 Ogos 2009

Khairy cabar Pas keluar pakatan demi maruah

BERITA HARIAN ONLINE


BUKIT MERTAJAM: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mencabar Pas keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) demi menjaga maruah parti kerana tidak lagi dihormati dalam gabungan itu.

Katanya, isu membabitkan Islam di Selangor dan Pulau Pinang jelas menjatuhkan maruah serta kedudukan parti itu dalam gabungan yang mendakwa memberi hak sama serta adil kepada semua pihak.

Sambil menyatakan simpati, beliau berkata, Pas sering dilayan tidak adil terutama dalam pemberian kuasa walaupun ia terbesar dalam gabungan berdasarkan ahli dan sumbangan dari segi tenaga kerja pada setiap pilihan raya.

“Seperti di Pulau Pinang, Pas langsung tidak diberikan jawatan Exco dalam kerajaan negeri walaupun ada wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Di Selangor pula, cadangan mereka supaya penjualan arak tidak dibenarkan di kawasan majoriti Islam tidak didengar. Ia seolah-olah parti itu tiada suara.

“Pada pilihan raya kecil Permatang Pasir difahamkan Pas akan bertanding, saya cadangkan mereka minta jawatan Exco Pulau Pinang. Jika tidak dapat, keluar pakatan dan nilai harga diri," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Bukit Mertajam di sini, semalam.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, setiakawan Pakatan Rakyat berbeza dengan Barisan Nasional (BN) kerana semua komponen BN diberi tanggungjawab.

Khairy turut mengajak Pas supaya bermuzakarah dengan Umno bukan saja demi kepentingan umat Islam di negara ini tetapi untuk semua kaum.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, yang mengutarakan pendapat sama, berkata sudah sampai masanya Pas membuat keputusan terbaik memandangkan cadangannya menegakkan syiar Islam di Selangor ditolak 'mentah-mentah'.

Justeru, katanya, tindakan meninggalkan PR adalah langkah terbaik sekiranya pemimpin parti itu tidak mahu bersekongkol dengan DAP berhubung isu penjualan arak.

"Kadang-kadang kita tidak faham kenapa Pas boleh bersekongkol dengan DAP yang jelas mempunyai perbezaan idealogi bukan saja dengan Umno tetapi kaum Melayu dan Islam juga. Ia amat menghairankan," katanya selepas merasmikan Persidangan Pemuda Umno bahagian Jasin di Merlimau, Melaka, semalam.

Tiada ulasan: