Sabtu, 15 Ogos 2009

Kesan cap jari dalam surat ugutan Ahmad Said tidak jelas

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Empat daripada enam cap jari individu yang ditemui pada surat berbaur ugutan yang dihantar kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didapati tidak sepadan dengan rekod cap jari yang ada pada pihak berkuasa.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata pemeriksaan forensik polis terhadap kesan cap jari pada sampul surat yang dihantar kepada Datuk Seri Ahmad Said Hamdan tidak menunjukkan sebarang bahan bukti baru.

"Empat daripada enam kesan cap jari tidak cukup terang untuk mendapatkan keserasian manakala dua lagi masih dianalisis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pencegahan dadah di Seri Kembangan, dekat sini, hari ini.

Pada 24 Julai lalu, Ahmad Said menerima sepucuk surat berbentuk ancaman bunuh untuk membalas dendam atas kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock, selepas disoal siasat SPRM.

Surat ancaman bunuh itu yang dialamatkan kepada Ahmad Said itu diterima melalui pos oleh pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam.

Mengenai keengganan Wong Chuan How, 50, pembantu Exco Selangor Ronnie Liu, memberi kerjasama kepada SPRM semalam untuk disiasat, Khalid berkata polis telah menerima laporan dari SPRM dan juga Wong.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana memaki hamun penjawat awam," katanya.

Wong disiasat SPRM berhubung dakwaan salahguna peruntukan Dewan Undangan Negeri membabitkan 234 projek bernilai hampir RM500,000.

Tiada ulasan: