Rabu, 26 Ogos 2009

Kes mungkir janji nikah personaliti TV3

BERNAMA


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan seorang ahli perniagaan pada 29 Sept bagi kebenaran meminda kenyataan pembelaan kerana mengingkari penyelesaian perjanjian pampasan RM5.5 juta kerana gagal menunaikan janji untuk berkahwin yang difailkan oleh personaliti TV3 Maria Tunku Sabri.

Penolong Kanan Pendaftar Rumaizah Baharom menetapkan tarikh itu selepas perkara itu dibawa ke kamarnya hari ini.

Dalam permohonannya, Datuk Wan Johani Wan Hussin, 56, memohon kebenaran bagi meminda pembelaan untuk memberi gambaran penuh kepada mahkamah berhubung fakta-fakta sebenar tindakan itu dan juga pembelaan defendan.

Berhubung saman dalam kamar yang difailkan pada 16 Julai, Wan Johani juga berkata kenyataan pembelaan itu perlu dipinda berikutan keputusan oleh Mahkamah Persekutuan bahawa seorang defendan dalam prosiding gagal menunaikan janji pernikahan diperlukan untuk membuat rayuan khusus mengenai kepenyalahan undang-undang bagi perjanjian sedemikian berdasarkan bahawa wanita Islam itu telah berkahwin semasa perjanjian itu dibuat.

Peruntukan di dalam Undang-undang Keluarga Islam menyatakan bahawa seorang wanita yang telah bernikah dilarang mengahwini lelaki lain.

Pada 24 Jun, Mahkamah Persekutuan membenarkan pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan mengemukakan semula saman terhadap Wan Johani.

Mahkamah itu kemudian memerintahkan agar kes itu didengar semula di Mahkamah Tinggi untuk pengurusan kes dan perbicaraan.

Pada 2004, Maria, 39, memohon agar dikuatkuasakan perjanjian melibatkan janji oleh Wan Johani untuk membayarnya RM5.5 juta kerana beliau (Maria) tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan itu kerana enggan mengahwininya seperti yang dijanjikan.

Dalam pembelaannya, Wan Johani, menafikan wujud sebarang kontrak, dan sebagai alternatifnya, berkata perjanjian itu tidak sah dan mempunyai unsur ugutan dan pujukan.

Maria membawa kes itu untuk rayuan ke Mahkamah Persekutuan selepas gagal dalam usahanya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Pada 22 Feb tahun lepas, Penolong Pandaftar Kanan menggugurkan saman tersebut selepas berpuas hati bahawa kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana kedua-dua pihak beragama Islam dan isu yang dibangkitkan melibatkan perkahwinan.

Pada 5 Ogos, 2008, Maria gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman asal dan memerintahkan Maria tidak boleh menguatkuasakan penyelesaian perjanjian itu kerana ia tidak sah di bawah Akta Kontrak.

Mahkamah Rayuan berpendapat Seksyen 14(1), Akta Undang-Undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 melarang seorang wanita yang telah bernikah mengahwini lelaki lain.

Maria diwakili Nicholas Netto manakala peguam Harjinder Singh Sandhu mewakili Wan Johani.

Tiada ulasan: