Rabu, 19 Ogos 2009

Kes along dijangka meningkat bulan ini

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Bilangan mereka yang meminjam daripada along dijangka meningkat mulai bulan ini berikutan bermulanya liga bola sepak di Eropah, selepas menunjukkan penurunan sejak Jun lalu.

Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata ini berikutan, jangkaan peningkatan pertaruhan keputusan liga bola sepak terutama Liga Perdana Inggeris.

Beliau berkata, pihaknya mendapati `kaki judi’ mencari jalan pintas untuk mendapatkan wang dengan meminjam daripada along bagi membuat pertaruhan sepanjang pertandingan itu berlangsung.

“Kita dapat mengesan kegiatan ini apabila statistik menunjukkan pada April dan Mei lalu iaitu sepanjang kejohanan liga bola sepak berlangsung, jumlah wang yang dipinjam daripada along adalah antara RM5 juta hingga RM6 juta berbanding hanya RM2 juta pada bulan lalu.

“Ini menunjukkan trend, nilai pinjaman wang daripada along bermula bulan ini pasti akan meningkat memandangkan `kaki judi’ tiada pilihan lain untuk mendapatkan wang cara mudah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Chong berkata, pihaknya menerima 370 aduan mengenai masalah pinjaman along sepanjang tahun ini dengan nilai pinjaman mencecah RM25 juta membabitkan 2,694 along.

Daripada jumlah itu, 70 peratus adalah peminjam daripada kaum Cina, Melayu (19 peratus) dan India (11 peratus).

Bagaimanapun, Chong berkata, selepas kerajaan memulakan langkah menghapuskan ceti haram itu secara besar-besaran sejak beberapa bulan lalu, jumlah peminjam berkurang sehingga 50 peratus, Jun lalu.

“Kini banyak along terpaksa mengurangkan kegiatan mereka selepas kerajaan mengambil tindakan menghapuskan kegiatan ini secara besar-besaran.

Bagaimanapun, mereka masih lagi beroperasi bagi mendapatkan semula pinjaman dan mungkin akan kembali aktif selepas mendapat permintaan terutama pada bulan ini,” katanya.

Tiada ulasan: