Selasa, 25 Ogos 2009

Kerajaan Selangor Lantik Peguam Kekal Pekeliling

TV SELANGOR


Kerajaan Negeri Selangor hari ini melantik peguam kanan Tommy Thomas untuk mempertahankan pekeliling yang membenarkan pegawai dan kakitangan kerajaan, disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kehadiran seorang peguam dalam waktu pejabat.

Tommy akan mengetuai panel peguam mewakili Kerajaan Negeri yang juga terdiri daripada Fahda Nur Ahmad Kamar dan Yusmadi Yusoff. Kes ini telah ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam esok.

Dalam satu kenyataan lewat petang tadi, pejabat Menteri Besar Selangor menyatakan pekeliling yang terlibat telah dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud bertarikh 28 Julai 2009.

Pekeliling ini telah dikeluarkan berikutan satu keputusan yang dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 22 Julai 2009 bertujuan menjamin keselamatan pegawai, di samping memberi kerjasama kepada pihak SPRM.

Keputusan MMKN itu mengambil kira kematian Teoh Beng Hock yang ditemui mati di Plaza Masalam Shah Alam pada 16 Julai 2009 lalu ketika berada dalam tahanan SPRM.

Pada 20 Ogos lepas, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail memfailkan saman pemula bagi membatalkan pekeliling tersebut.

Tiada ulasan: