Rabu, 19 Ogos 2009

Keputusan kawal harga penutup hidung hari ini

UTUSAN ONLINE


KOTA KINABALU - Keputusan sama ada penutup hidung dan mulut diwartakan sebagai barang kawalan berikutan permintaan yang semakin tinggi akan diketahui esok.

Menteri Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementeriannya dan Kementerian Kesihatan telah mengadakan mesyuarat hari ini bagi meneliti kesan dan kewajaran bahan tersebut dijadikan barang kawalan.

"Harga yang dicadangkan tidak akan membebankan rakyat dan harganya tidak sama kerana penutup hidung dan mulut mempunyai beberapa jenis dan kualiti.

"Keputusan ini terpaksa dibuat kerana harga penutup hidung dan mulut itu sebelum ini hanya 50 sen tetapi kini dijual dengan harga yang tinggi antara RM3 hingga RM5 setiap satu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Stesen Minyak Shell Telipok dan Pengumuman Harga Baru Subsidi Minyak Tanah di stesen tersebut, di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu penutup tersebut diwartakan sebagai barang kawalan sehingga wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) berakhir.

Permintaan itu dibuat kerana sejak kebelakangan ini harga bahan berkenaan melambung tinggi di pasaran dan alasan peniaga ialah penutup tersebut sukar diperoleh daripada pembekal.

Ismail berkata, sekiranya penutup tersebut diwartakan sebagai bahan kawalan, ia akan tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga 1946.

Tegas beliau, apabila penutup tersebut diwartakan sebagai bahan kawalan, individu yang ingkar akan dikenakan denda RM15,000 manakala syarikat pula RM25,000.

Katanya, langkah berkenaan perlu kerana barang tersebut sudah menjadi suatu keperluan dan pengguna kini dibebani dengan harga yang tinggi.

Tiada ulasan: