Jumaat, 14 Ogos 2009

Kempen dijangka hangat mulai malam ini

BERITA HARIAN ONLINE


BUTTERWORTH: Pilihan raya kecil Permatang Pasir dijangka hangat mulai malam ini selepas Barisan Nasional (BN) dan Pas menamakan calon masing-masing hari ini.

Pengumuman calon BN akan dilakukan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Permatang Pasir di sini, kira-kira jam 4 petang, manakala Pas pada sebelah malam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dijangka mengumumkan ayam tambatan parti itu untuk mempertahankan kubu kuatnya sejak tiga penggal lalu pada jam 9 malam di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, juga di Kampung Permatang Pasir.

Empat nama disebut-sebut untuk dicalonkan oleh BN iaitu Timbalan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohamad Nasir Abdullah; Naib Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Abdul Rahim Man; Setiausaha bahagian, Rohaizad Othman; Ketua Pemuda Umno bahagian itu, Mohd Zaidi Mohd Said.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini membayangkan bahawa calon BN adalah seorang ahli Umno yang juga anak tempatan berasal dari Permatang Pasir.

Bagaimanapun, difahamkan Badan Perhubungan Umno negeri dan bahagian mahukan orang muda daripada golongan profesional diberi peluang untuk menggalas tugas sebagai calon BN dalam pilihan raya kali ini.

Bagi Pas pula, empat nama disahkan disenarai pendek untuk membawa cabaran Pas iaitu Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamed Sabu; Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Rosidi Husin dan bekas Pegawai Khas kepada bekas Adun Permatang Pasir, Shamsul Kamal Shafiee.

Perkara itu disahkan oleh Yang Dipertua Pas Permatang Pauh, Omar Hassan, bahawa empat nama itu sudah diserahkan kepada Pas Pusat.

Salleh ketika dihubungi mengesahkan pucuk pimpinan Pas Pusat sudah membuat keputusan mengenai calon dari parti itu dan hanya akan mengumumkannya malam ini.

Tiada ulasan: