Isnin, 3 Ogos 2009

Kementerian sasar 50,000 rumah PPRT

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LIPIS - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah meletakkan sasaran untuk membina 50,000 buah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, selain membantu golongan miskin tegar memiliki rumah, kerajaan juga telah merancang pelbagai projek bagi membantu 43,000 orang yang diiktiraf sebagai miskin tegar.

Menurut beliau, antara program yang dirancang ialah dengan mengambil golongan ini menjadi peserta dalam tanah rancangan pertanian berkelompok seperti Projek Agropolitan yang sudah dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.

“Contohnya, projek Agropolitan di Tanjong Gahai, Kuala Lipis yang meliputi kawasan seluas 216 hektar, yang dilancarkan pada tahun 2007 berjaya membantu 80 pesertanya keluar daripada garis kemiskinan tegar.

“Sebelum menyertai tanah rancangan itu pendapatan mereka ialah sekitar RM300 sebulan kini mereka berjaya memperoleh pendapatan melebihi RM1200 sebulan hasil daripada tanaman getah dan jualan nenas sebagai tanaman selingan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highland dekat sini semalam.

Katanya, kerajaan akan terus menaik taraf prasarana dan kegiatan ekonomi yang terancang agar kadar kemiskinan tegar dapat dihapuskan sepenuhnya pada tahun 2015.

Shafie berkata, kerajaan juga mempunyai program khas membantu masyarakat Orang Asli agar tidak tercicir daripada arus pembangunan negara dan setanding kaum lain.

Tiada ulasan: