Ahad, 9 Ogos 2009

Kementerian awasi persiapan hari merdeka

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengawasi sepenuhnya persiapan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang akan disambut tidak lama lagi berikutan penularan virus Influenza A (H1N1).

Menteri berkenaan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata setakat ini persiapan menyambut Hari Kemerdekaan berjalan lancar dan tidak dapat membayangkan sebarang kemungkinan, namun apa-apa boleh berlaku.

“Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, sudah diarah memantau keadaan wabak ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan HSC Japan Clinic di sini, semalam.

Seramai 23,000 murid dan pelajar serta kira-kira 47,000 orang dijangka hadir pada sambutan Hari Kemerdekaan di Stadium Bukit Jalil pada 31 Ogos ini.

Liow menasihati peserta menjaga kebersihan dan mereka yang tidak sihat disarankan tidak hadir pada hari raptai dan perarakan penuh.

Menurutnya, peserta dan pengunjung pada hari sambutan itu akan menjalani pemeriksaan dan semua penganjur acara hendaklah menyediakan pembersih tangan dan memeriksa suhu badan tetamu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam berkata, H1N1 menjadi ancaman serius dan menasihati orang ramai supaya menjauhkan diri daripada menghadiri acara tidak perlu yang membabitkan ramai orang.

Katanya, setakat ini angka kematian meningkat kepada 18 dengan tiga lagi kematian dilaporkan, sementara bilangan kes yang disahkan positif mencecah 1,578 kes.

Beliau menggesa orang ramai mematuhi nasihat Perdana Menteri untuk memberi perhatian serius dan bekerjasama dalam semua tindakan bagi mengekang penularan wabak ini.

Liow juga mengingatkan orang ramai supaya meningkatkan amalan menjaga kebersihan, pakai topeng dan menjauhkan diri daripada mereka yang ada simptom seperti selesema.

Mengenai ubat antiviral Tamiflu, menteri itu menasihatkan orang ramai supaya jangan mengambilnya sesuka hati.

“Kalau selepas itu menghidapi H1N1, ia tidak berkesan lagi. Saya ingin memberi amaran ini sangat penting, hanya mereka yang sakit dan dengan nasihat doktor boleh mengambil ubat antiviral Tamilflu,” tegas Liow.

Tiada ulasan: