Rabu, 19 Ogos 2009

Kematian enam lelaki bukan sebab gas ammonia

BERNAMA

SHAH ALAM: Siasatan awal mendapati enam lelaki yang mati di Kampung Bagan Pasir, Tanjung Karang, Selasa lepas disebabkan terdedah kepada gas hidrogen sulfida atau gas toksid lain, bukannya gas ammonia seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata laporan ujian awal itu diperoleh daripada Kumpulan Penyiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Bahagian Risiko Utama, Bahagian Higen dan Ergonomik dan Bahagian Kejuruteraan Forensik.

"Siasatan awal menunjukkan kemungkinan kemalangan ini disebabkan mangsa terdedah kepada gas beracun seperti hidrogen sulfida atau toksid lain yang terhasil daripada sisa ikan yang disimpan dalam kolam.

"Ia juga mendapati semua kolam yang menyimpan sisa-sisa ikan mengandungi isipadu gas hidrogen sulfida yang tinggi. emungkinan besar pengusaha telah tutup sistem penyejukan beberapa hari dan menyebabkan gas hidrogen sulfida dihasilkan dan berkumpul dalam kolam yang tertutup," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini semalam.

Beliau berkata hidrogen sulfida adalah gas yang tidak berwarna, beracun, mudah terbakar dan berbau seperti telur busuk.

"Gas ini boleh timbul daripada aktiviti biologi ketika bakteria menguraikan bahan organik dalam keadaan tanpa oksigen seperti di paya dan saluran pembentungan," katanya.

Beliau berkata, laporan penuh hasil siasatan itu akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi.

Pada kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, enam lelaki, empat rakyat tempatan dan dua warga Bangladesh maut setelah terhidu gas beracun yang bocor dari sistem penyejuk di sebuah kolah menyimpan ikan di perkampungan nelayan di Kampung Bagan Pasir.

Mereka yang maut ialah Lim Kin Chew,35 , Sekandar Ali, 36, Mu Man Mia, 20, Lim Kin Soon, 58, Sia Liang Huat, 33, dan Gan Ayang, 30 tahun.

Tiada ulasan: