Rabu, 12 Ogos 2009

Kemarau enam tahun berakhir

Oleh Saufi Hamzah dan Nazmi Yaakub


PUTRAJAYA: Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan atau lebih dikenali sebagai Anwar Ridhwan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara (SN) Ke-10, selepas namanya diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penobatan Anwar Ridhwan itu menamatkan kegersangan Anugerah Sastera Negara (ASN) selepas enam tahun tiada penganugerahan, walaupun nilai hadiahnya dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM60,000 pada 2004, selepas Allahyarham Dr Syed Othman Syed Omar (S Othman Kelantan) menerimanya pada 2003.

Muhyiddin berkata, pemilihan Anwar Ridhwan sebagai SN berdasarkan kemampuannya mengungkap pemikiran yang berupaya membawa perubahan, di samping karyanya memaparkan kekuatan bakat yang kekal untuk direnung dan dicontohi generasi akan datang.

“Tokoh ini berupaya menjadi model contoh kepada pengarang yang ingin menjadi penulis yang merenung situasi manusia Malaysia dan sejagat, selain gaya bahasanya bersahaja, tetapi berseni dan indah,” katanya pada sidang media Pengumuman Penerima ASN Ke-10 di pejabatnya di sini, semalam.

Mengenai penganugerahan SN yang mengambil masa enam tahun, Muhyiddin berharap panel penilai yang dibentuk bersidang setiap tahun dengan iklan pencalonan SN dikeluarkan pada awal tahun bagi memastikan nama calon dibawa kepada mesyuarat panel penilai.

“Sebagai Menteri Pelajaran, saya memang prihatin kepentingan anugerah ini diteruskan, tetapi oleh sebab masalah pada peringkat pengurusan DBP dulu, maka ia tidak dapat diadakan. Mulai tahun ini saya mengarahkan ia diteruskan dan Alhamdulillah kita dapat nama untuk dinilai oleh panel penilai,” katanya yang juga Pengerusi Panel Penilai ASN Ke-10.

Anwar Ridhwan anak kelahiran Sungai Besar, mula mencipta nama pada 1970 dalam genre puisi dan cerpen sebelum penguasaan dalam novel dan drama ketika berkhidmat di DBP dan jawatan terakhirnya ialah Pengarah Penerbitan DBP, sebelum bersara pada 2005 dan kini berkhidmat di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sebagai Dekan Jabatan Penulisan.

Keterampilan Anwar Ridhwan dalam genre novel dengan teks paling menarik perhatian pengkaji ialah Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto, manakala dramanya yang sering diperkata ialah Yang Menjelma dan Menghilang selain Orang-Orang Kecil.

Melalui Naratif Ogonshoto yang turut diterjemah ke bahasa Inggeris, Tales of Ogonshoto, Anwar Ridhwan meraih Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) 2003; Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2000-2001 dan Anugerah Sastera Penulisan sempena Malam Anugerah Budayawan Selangor 2005 serta menerima gelaran datuk.

Selain wang tunai, SN turut menerima Warkah Penghormatan Negara, kemudahan mencipta, menerbitkan karya di samping perubatan percuma di hospital kerajaan, manakala majlis penganugerahan diadakan di Palace of the Golden Horses, Kuala Lumpur, pada 20 Oktober ini dan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tiada ulasan: