Khamis, 27 Ogos 2009

Kelantan Tetapkan Zakat Fitrah RM6.90

BERNAMA


KOTA BAHARU -- Kadar zakat fitrah di Kelantan ditetapkan RM6.90 tahun ini berbanding RM7.60 tahun lepas, kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Datuk Kamaruddin Mohd Zin.

Beliau berkata keputusan penetapan kadar zakat fitrah itu dibuat setelah mendapat persetujuan jemaah ulama dan diperkenankan oleh Pemangku Sultan Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra.

Berdasarkan kadar baru itu, Maik menjangkakan dapat memungut RM7.5 juta daripada zakat fitrah tahun ini, katanya kepada Bernama Rabu.

Selain itu, Kamaruddin berkata Maik juga melantik 579 amil terdiri daripada imam dan pegawai masjid, termasuk pegawai agama di kem tentera, polis, penjara dan pusat-pusat tahanan di seluruh negeri untuk mengutip bayaran zakat.

"Bagi memberi kemudahan kepada orang ramai membayar zakat harta dan zakat pendapatan, kita (Maik) juga membuka kaunter khidmat rundingan di tempat-tempat tumpuan awam, termasuk di Pasar Raya Tesco mulai 1 hingga 12 Sept," katanya.

Tiada ulasan: