Selasa, 18 Ogos 2009

'Kedudukan Murugiah di tangan PM'

MALAYSIA KINI


Kedudukan Senator Datuk T Murugiah sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri terletak di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Beliau (perdana menteri) yang menentukan kedudukan sesiapa dalam Jemaah Menteri, sama ada dengan keputusan yang telah dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan sebahagian yang disebutkan (iaitu maklumat yang) dihantar oleh Presiden PPP (Datuk M Kayveas)," kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
.
"Itu perkara yang telahpun disahkan. Perdana Menteri akan membuat keputusan yang sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan siri Buku Evolusi Kepimpinan karya Profesor Khairil Annas Jusoh hari ini, lapor Bernama.

Minggu lalu, Datuk M Kayveas diisytiharkan sebagai presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) yang sah selepas siasatan mendalam dilakukan oleh ROS.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan perkara itu berkata siasatan juga mendapati pemecatan keanggotaan Senator Datuk T Murugiah adalah mengikut perlembagaan parti.

Murugiah tidak akan berdamai

Sementara itu, Murugiah yang juga bekas ketua Pemuda PPP berkata, beliau tidak akan berdamai dengan Kayveas.

Sebaliknya, beliau akan mengemukakan rayuan kepada ROS untuk menimbang semula keputusan mengenai isu kepimpinan parti itu.

Murugiah berkata eliau telah berbincang dengan peguamnya dan akan mengemukakan rayuan kepada ROS dalam tempoh 30 hari.

"Saya tidak puas hati dengan cara mereka katakan bahawa pemecatan saya adalah sah, kerana saya tidak diberi surat tunjuk sebab, tidak dipanggil oleh lembaga disiplin dan saya tidak tahu kesalahan apa yang telah saya lakukan," katanya dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan seminar berkaitan NGO di ibunegara hari ini.

Murugiah berkata beliau telah bertemu Kayveas dua bulan lepas dengan hasrat untuk berdamai tetapi kecewa dengan sikap Kayveas yang disifatkan angkuh dan tidak sopan terhadapnya.

"Beliau memberitahu saya supaya membuat permohonan maaf secara terbuka dan saya mesti berhadapan dengan majlis tertinggi. Saya tidak pernah melakukan sebarang kesalahan, jadi kenapa saya perlu meminta maaf?" katanya.

Murugiah berkata Kayveas memberitahunya supaya jangan keluar di akhbar dan jangan menjalankan tugas sebagai timbalan menteri.

"Beliau cemburu terhadap saya dan takut. Beliau rasa saya adalah ancaman kepada masa depannya," dakwa Murugiah, yang yakin mendapat sokongan majoriti masyarakat India di negara ni, termasuk mereka daripada parti komponen BN.

Beliau turut memberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasatnya mengenai dakwaan Kayveas terhadapnya dan dakwaan beliau telah merasuah seseorang sebanyak RM74,000 untuk membeli undi dalam pemilihan PPP lepas, tetapi kes itu ditutup kerana tiada bukti.

"Mereka (SPRM) datang ke pejabat saya selama tiga jam dan memeriksa semua fail. Mereka turut menahan dua pegawai saya untuk satu malam bagi tujuan soal siasat," katanya.

Tiada ulasan: