Khamis, 13 Ogos 2009

Kayveas Presiden PPP yang sah - Pendaftar Pertubuhan

BERNAMA


PUTRAJAYA: Datuk M. Kayveas hari ini disahkan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) berdasarkan hasil siasatan menyeluruh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein dalam sidang akhbar selepas mesyuarat pasca kabinet di sini hari ini.

Hishammuddin berkata pengesahan itu juga berdasarkan pemilihan Anggota Majlis Tertinggi sesi 20052010 di dalam perhimpunan Agung PPP pada 2 Okt 2005.

"Siasatan juga mendapati bahawa pemecatan keahlian Datuk T. Murugiah adalah mengikut perlembagaan parti seperti yang termaktub di bawah perlembagaan PPP yang membawa kepada pemecatan beliau, telah dipatuhi," katanya.

Sehubungan itu, Hishammuddin berkata pelantikan Murugiah sebagai Presiden PPP melalui Mesyuarat Agung Khas pada 24 Mei lepas tidak boleh diterima kerana tidak mematuhi Perlembagaan Parti.

"Hasil siasatan berkenaan telah dikaji dari pelbagai sudut termasuk mendapat pandangan Penasihat Undang-Undang Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.

Beliau berkata berdasarkan hasil siasatan itu, Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak mempunyai 'locus' untuk bertindak sebagai presiden parti, menggunakan platform atau menjalankan apa-apa jua aktiviti berkaitan dengan parti berkenaan.

Hishammuddin berkata parti PPP dinasihatkan supaya mengambil tindakan terhadap Murugiah sekiranya beliau masih menggunakan nama parti itu.

Beliau juga sudah mengadakan pertemuan dengan kedu-adua pemimpin itu dan merasakan keputusan yang dibuat ROS itu dapat diterima baik keduaduanya.

Mengenai kedudukan Murugiah sebagai Senator, Hishammuddin berkata ia bergantung kepada keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Krisis PPP mencapai kemuncaknya apabila Murugiah, yang dipecat sebagai anggota Majlis Tertinggi parti oleh Lembaga Disiplin parti kerana didakwa melakukan pelbagai kesalahan, mengisytiharkan dirinya sebagai 'presiden baru PPP' selepas mengadakan mesyuarat agung luar biasa di Putrajaya pada Mei lalu kerana mendakwa ia diadakan mengikut perlembagaan parti.

Kayveas pula mengekalkan jawatannya sebagai presiden parti tanpa bertanding pada mesyuarat agung PPP ke-56 pada 30 Mei lepas.

Tiada ulasan: