Isnin, 24 Ogos 2009

Kartika dibebaskan, 'hukuman sebat ditangguhkan sementara'

MSTAR ONLINE
(BERITA TERKINI)


KUANTAN: Kartika Sari Dewi Shukarno, yang dijadualkan untuk menjalani hukuman sebat di Penjara Kajang hari ini atas kesalahan meminum arak, telah dibebaskan buat sementara waktu, demikian kata Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz.

Exco Hal Ehwal Agama, Dakwah, Perpaduan dan NGO itu berkata, ini kerana adalah tidak sesuai untuk melaksanakan hukuman sebat itu pada bulan puasa.

Katanya, pegawai dari Jabatan Agama telah ke kediaman keluarga Kartika di Sungai Siput, Perak pagi Isnin untuk menyerahkan waran tangkap ke atasnya bagi membolehkan dia dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman sebat sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan baru-baru ini.

"Pada masa yang sama, mereka juga telah menerima sepucuk surat daripada Jabatan Peguam Negara menasihati mereka supaya membebaskan Kartika buat sementara waktu memandangkan sekarang adalah bulan puasa dan adalah tidak wajar hukuman tersebut diteruskan pada bulan Ramadan ini.

"Bagaimanapun, keputusan hukuman tersebut tetap berkuatkuasa dan ia akan dilaksanakan selepas bulan Ramadan," kata Sahfri

Sementara itu di SUNGAI SIPUT: laporan terdahulu menyebut tiga pegawai dari Jabatan Agama Negeri telah mengunjungi rumah bapa Kartika awal pagi ini dan membawanya dalam sebuah van. Bagaimanapun menurut ayah Kartika, Shukarno Abdul Mutallib, 30 minit selepas itu Kartika dihantar pulang selepas pegawai tersebut meneriman arahan daripada 'pihak atasan' untuk membebaskanya.

Pegawai dari jabatan agama tersebut mengatakan buat masa ini hukuman tersebut tidak boleh dijalankan.

Sebelum ini Kartika, 32, dikatakan akan menjalani hukaman sebat keatasnya minggu ini tetapi tiada tarikh yang telah ditetapkan.

Badan bebas antarabangsa, Amnesty International mengecam tindakan tersebut kerana ia akan menjejaskan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana.

Belum ada pengesahan sama ada Kartika akan dipenjarakan semula sebelum hukaman sebatan tersebut dijalankan.

Menurut seorang pegawai dari Jabatan Islam tersebut, Badaruddin Ahmad Bustami, pegawai dari penjara enggan menerima Kartika atas sebab-sebab yang tidak diberitahu.

"Kami tidak tahu apa yang patut dilakukan. Kami akan berbincang dengan mahkamah Syariah berhubung perkara ini sama ada hukuman tersebut telah ditarik balik," kata Badaruddin kepada Associated Press.

Pegawai dari jabatan penjara tersebut gagal dihubungi.

Shukarno berkata mereka akan membuat laporan polis selepas ini berhubung dengan pembebasan anaknya itu.

Jelasnya dia sendiri tidak faham tentang apa yang berlaku dan bimbang sekiranya pegawai polis akan menuduh anaknya melarikan diri daripada hukuman tersebut.

Sebelum ini Kartika ditangkap dalam satu serbuan yang di buat di sebuah hotel dan didapati bersalah kerana meminum arak.

Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman tersebut pada Julai lepas.

Beliau tidak membuat rayuan sebaliknya mengatakan akur dengan keputusan tersebut. Ketika keluar dari rumahnya Kartika mengelak daripada memberi sebarang komen kepada media.

Tiada ulasan: