Isnin, 17 Ogos 2009

'Kaji tradisi agih kerusi wakil rakyat'

Ambil kira kehendak pengundi, komposisi kaum

Oleh Syuhada Choo Abdullah


KUALA LUMPUR: Tradisi pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti komponen Barisan Nasional (BN) yang diguna pakai sekarang perlu dikaji semula dengan mengambil kira kehendak pengundi kawasan itu.

Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pengagihan kerusi ketika ini mengikuti konsep 'diwarisi' iaitu parti sama bertanding kawasan diperuntukkan kepadanya walaupun peluang menang tipis.

"Mungkin sudah tiba masanya tradisi itu dikaji semula sebagai salah satu aspek transformasi untuk memastikan kejayaan kepada BN.

"Kita perlu mengambil kira kehendak pengundi termasuk komposisi kaum di kawasan itu kerana ia faktor amat penting untuk menentukan BN mendapat sokongan pada pilihan raya akan datang.

"Justeru, perlulah ada kajian semula untuk menentukan apakah kehendak rakyat dan sikap serta pendirian pengundi, terutama sebelum menghadapi pilihan raya. Janganlah pengagihan kerusi ditetapkan hanya mengikut tradisi serta amalan sekiranya ia tidak boleh memberi kemenangan kepada parti (BN).

"Bagaimanapun, sudah tentu semuanya (penetapan berkaitan perkara itu) adalah berdasarkan perbincangan dalam BN," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Ke-6 Umno Bahagian Wangsa Maju di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Shafei Abdullah.

Sementara itu dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, kepimpinan Umno pada semua peringkat perlu memahami dan menginsafi keadaan semasa parti yang terjejas kesan daripada pilihan raya umum yang lalu.

Bagi meletakkan Umno pada landasan yang betul semula, katanya, kepimpinan parti perlu melakukan perubahan walaupun ia drastik, pahit, tidak popular, sukar diterima dan bukan mengikut kelaziman.

"Jika kepemimpinan mengambil jalan penyelesaian yang mudah atau ringan, Umno tidak mungkin dapat keluar daripada masalah dihadapi. Oleh itu, adalah penting untuk semua ahli Umno menerima, memahami dan yakin kepada kepimpinan," katanya.

Mohamed Khaled turut membidas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana sanggup menggadaikan hak istimewa orang Melayu dan Islam untuk kepentingan politik.

Tiada ulasan: