Ahad, 30 Ogos 2009

Jangan cetus pertelingkahan

Oleh SAIFULIZAM MOHAHAMAD


KUALA LUMPUR - Pihak polis telah diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang sengaja mencetuskan pertelingkahan kaum tanpa mengira sesiapa termasuk 200 penduduk Islam yang berarak membawa kepala lembu bagi membantah pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam .

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan seumpama itu terpaksa diambil kerana keutamaan kerajaan ketika ini adalah keselamatan rakyat serta keamanan negara.

"Pertimbangan dan keutamaan saya adalah keamanan negara dan keselamatan rakyat pelbagai kaum.

"Oleh itu saya telah mengarahkan pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum tidak kira kaum dan agama,'' katanya.

Beliau mengulas tindakan 200 penduduk Islam di Seksyen 23, Shah Alam dan beberapa NGO berarak ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebagai tanda membantah cadangan pembinaan kuil di kawasan yang majoriti penduduk Islam itu.

Kumpulan itu berkumpul di Masjid Negeri selepas solat Jumaat sambil membawa sepanduk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negeri.

Bagaimanapun ia telah mencetus kontroversi apabila terdapat sebilangan penduduk yang menggunakan kepala lembu berarak dan meletakkannya di hadapan pejabat SUK.

Dalam pada itu, Hishammuddin sedar tanah yang diluluskan oleh kerajaan Selangor untuk pembinaan kuil tersebut tidak sesuai kerana majoriti penduduk di kawasan berkenaan adalah orang Islam.

Keadaan itu, katanya telah membangkitkan kemarahan penduduk tetapi beliau amat berharap isu tersebut tidak sampai ke tahap berlakunya pertelingkahan kaum.

"Membawa kepala lembu memang tidak sensitif tetapi harus diingat pernah ada satu insiden yang mana bendera UMNO telah digunakan membalut kepala babi dan kemudian ditinggalkan di depan bangunan UMNO," katanya.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Dr. Rais Yatim berkata, rakyat perlu belajar daripada peristiwa 13 Mei 1969 agar dapat mengekalkan tahap perpaduan antara kaum di negara ini.

Katanya, setiap kaum perlu menyelaraskan perasaan serta sentimen emosi mereka secara rasional.

Beliau berkata, soal agama dan budaya adalah perkara yang sensitif serta tidak boleh diperlekehkan.

"Mereka tidak boleh terbawa-bawa dengan perasaan sebegitu, kita perlu menjaga suasana harmoni di dalam negara ini,'' katanya semasa ditemui selepas majlis raptai sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 di Dataran Parlimen hari ini.

Rais berkata, tindakan yang berlaku semalam perlu dielakkan pada masa akan datang.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini berdasarkan apa yang terjadi semalam yang mana mereka seolah-olah menghina kepercayaan agama lain.

"Sepatutnya di bulan puasa yang mulia ini, kita sebagai umat Islam perlu mempunyai sifat sabar yang tinggi,'' katanya.

Tiada ulasan: