Ahad, 23 Ogos 2009

Isu Hantu Lapar selesai: Khalid

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Penduduk di beberapa flat di Seksyen 24 rasa lega kerana Persatuan Phor Thor tidak akan mengadakan lagi upacara Hantu Lapar atau ‘Hungry Ghost’ di kawasan mereka dan masalah yang berlarutan sejak sekiam lama akhirnya selesai.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, masalah yang timbul di Seksyen 24 sebenar telah berlaku sejak 13 tahun lalu.

“Bagaimanapun, ahli Persatuan Phor Thor dan penduduk Seksyen 24 telah meminta bantuan daripada saya untuk membantu mereka menyelesaikan masalah ini. Di samping itu, meminta saya untuk mencarikan tapak untuk mereka mengadakan upacara ini.

“Jadi saya cuba membantu mereka untuk mencarikan tapak baru dan kami telah jumpa tapak tersebut iaitu di Seksyen 18. Setelah berbincang dengan ahli-ahli Persatuan Phor Thor, mereka bersetuju dengan cadangan tersebut dan pada tahun ini mereka akan membuat upacara sembahyang hantu itu di kawasan yang baru,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, upacara yang diadakan itu dilakukan selama tiga malam itu menyebabkan penduduk di kawasan Seksyen 24 sebelum ini merasa tidak selesa dengan keadaan tersebut.

Khalid berkata, dahulu semasa pemerintahan BN, penduduk telah melaporkan situasi yang mereka hadapi itu kepada pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), polis dan juga Badan Pencegahan Rasuah (BPR) sekarang dikenali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pada saya masalah yang dihadapi oleh penduduk Seksyen 24 ini amat serius. Jadi setelah berbincang, mereka memerlukan kawasan untuk mengadakan upacara tersebut agar penduduk di kawasan itu rasa selesa.

“Semasa upacara tersebut dijalankan masyarakat Cina yang meraikan upacara ini akan makan daging khinzir yang menjadi hidangan wajib mereka, jadi penduduk Islam di kawasan Seksyen 24 ini tidak selesa, kita perlu menjaga sensitiviti kaum lain sekiranya ingin mengadakan sesuatu upacara berkaitan keagamaan atau sebaliknya. Oleh itu, kita carikan kawasan baru yang jauh daripada penduduk,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Phor Thor, Joe Tan berkata, pihaknya berterima kasih dengan bantuan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Shah Alam kerana membantu mereka untuk mencari tapak baru bagi mengadakan upacara Phor Thor.

“Sejak 1986, kami mengadakan upacara tersebut di Seksyen 24 iaitu di kawasan blok 19, 20 dan 21. Bagaimanapun, pada 2007 pihak pengurusan flat tersebut telah membuat aduan agar tidak membuat upacara Phor Thor ini di kawasan blok mereka.

“Jadi tahun ini, saya minta bantuan daripada YB Khalid untuk mencarikan kawasan untuk kami. Dan hasilnya, kami telah mendapat tempat baru yang besarnya tiga kali ganda saiz padang bola sepak di Seksyen 18.

“Kawasan tersebut jauh daripada penduduk dan sesuai bagi kami mengadakan upacara Phor Thor ini,” katanya kepada media.

Beliau berkata, upacara Phor Thor akan diadakan pada 31 Ogos hingga 3 September ini dan akan diadakan di kawasan baru di Seksyen 18.

Tiada ulasan: