Sabtu, 15 Ogos 2009

Istana Abdul Aziz dikuarantin sehingga Ahad

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Istana Abdul Aziz di sini dikuarantin sehingga Ahad ini berikutan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama lima anakanda baginda dijangkiti selesema babi atau influenza A (H1N1).

Berikutan itu, tiada kaum kerabat termasuk kakitangan dibenarkan keluar dari kawasan istana sejak Tengku Puan Pahang dimasukkan ke Wad Diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini selepas dijangkiti penyakit itu sejak Sabtu lalu.

Ketika mengesahkan perkara itu, Tunku Azizah Aminah Maimunah bertitah, selain kaum kerabat dan kakitangan dilarang keluar dari istana, pihak luar termasuk pekerja yang menjalankan kerja-kerja di pekarangan istana, juga tidak dibenarkan masuk.

''Tiada siapa dari dalam istana dibenarkan keluar, pekerja dari luar pun tidak dibenarkan masuk sehingga 16 Ogos ini,'' titah baginda menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jumaat lalu, lima anakanda baginda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 14; Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah, 12; pasangan kembar, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, 9, serta Tengku Puteri Jihan Khalsom Athiyatullah, 7, dimasukkan ke Wad Diraja HTAA setelah disahkan positif H1N1.

Sementara itu, Tunku Azizah Aminah Maimunah pula dimasukkan ke wad yang sama sehari kemudian kerana dijangkiti virus berkenaan semasa menjaga kelima-lima anakanda baginda.

Adinda baginda, Tunku Mariam Zaharah Sultan Iskandar turut dimasukkan ke wad berkenaan Selasa lalu setelah menunjukkan simptom H1N1.

Tunku Azizah Aminah Maimunah memberitahu, baginda bersama lima anakandanya yang semakin pulih masih berada dalam pengawasan doktor di Wad Diraja HTAA.

Menurut baginda, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah juga tidak dibenarkan melawat keluarganya yang dikuarantin di wad tersebut.

Tiada ulasan: