Khamis, 13 Ogos 2009

Insiden gas bocor: Kerajaan Negeri adakan perjumpaan

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM- Kerajaan Negeri akan mengadakan satu perjumpaan antara Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH), Jabatan Perikanan, Persatuan Nelayan, Koperasi Nelayan dan pemilik jeti persendirian bagi merangka satu garis panduan supaya insiden kematian akibat kebocoran gas ammonia di Tanjung Karang tidak berulang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dimaklumkan sistem ‘refrigerated sea water’ (RWS) banyak digunakan oleh pengusaha jeti persendirian untuk menyimpan ikan bagi jangka masa yang panjang.

“Setelah mendapat taklimat daripada Jabatan Perikanan Negeri Selangor pagi tadi (semalam), difahamkan kematian tersebut berlaku di jeti persendirian yang telah dibina lebih 30 tahun yang lalu.

“Di tempat kejadian berkenaan, terdapat empat buah tangki konkrit yang dibina di bawah jeti ini sejak sembilan tahun yang lalu dan setiap satu sedalam 2.1 meter panjang dan 1.8 meter lebar.

“Sistem penyejukan ikan baja ini ditiru daripada sistem penyejukan ikan di dalam bot iaitu sistem RWS yang menggunakan air laut dan gas ammonia sebagai agen penyejukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco, di sini, semalam.

Namun demikian katanya, sehingga kini tiada garis panduan tetap (standard of procedure atau SOP) untuk menjamin keselamatan pekerja.

“Oleh itu, kita akan mengadakan satu perjumpaan dengan semua pihak berkenaan bagi merangka satu garis pan-duan tetap supaya keja-dian sebegini tidak berulang,” katanya.

Menurut beliau, pihak berkenaan perlu menga-malkan kawal selia kendiri bagi menjamin keselamatan pekerja masing-masing.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut mengucapkan taziah kepada keluarga enam orang mangsa yang maut selepas terhidu gas ammonia beracun di tempat simpanan ikan baja di Kampung Bagan Pasir, Tanjung Karang, kelmarin.

“Beberapa pemimpin termasuk beberapa Exco telah pun melawat keluarga mangsa dan memberikan pertolongan yang sepatutnya kepada mereka,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Abdul Khalid dan ahli Exco Kerajaan Negeri yang mengunjungi keluarga mangsa di rumahnya di Bagan Pasir lewat petang semalam menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada setiap keluarga mangsa.

Ahli Exco yang turut serta ialah Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Wah, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim.

Keempat-empat mayat mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cina, Meru, pagi ini.

Tiada ulasan: