Khamis, 27 Ogos 2009

Inkues Teoh: Mahkamah arah padam rekod 7 syarikat terlibat penyelewengan

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


SHAH ALAM: Mahkamah Majistret hari ini mengarahkan supaya semua keterangan yang mendedahkan penglibatan tujuh syarikat yang menunjukkan berlakunya penyelewengan wang peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dalam beberapa projek palsu dipadam daripada rekod mahkamah.

Malah mahkamah juga mengarahkan supaya semua dokumen dan beberapa bukti sokongan terhadap pendedahan tersebut supaya tidak dirujuk semasa prosiding inkues kematian pembantu politik seorang exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Koroner Azmil Muntapha Abas turut mengeluarkan perintah supaya keterangan-keterangan mengenainya juga tidak dilaporkan oleh pihak media.

"Bagi tujuan inkues, saya berpendapat adalah relevan untuk membawa masuk bukti yang menunjukkan keadaan fikiran si mati, tetapi skop hanyalah kepada dokumen rakaman percakapan si mati dan eksibit berkaitan.

"Untuk hari ini, apa-apa yang melampaui skop tersebut adalah terpadam dari rekod mahkamah," kata koroner.

Bagaimanapun sebelum itu peguam yang mewakili keluarga teoh, Gobind Singh Deo membantah pendedahan penglibatan tujuh syarikat berkenaan dengan alasan maklumat tersebut terkeluar daripada skop inkues yang hanya membenarkan empat dokumen berupa invois yang dicetak daripada komputer riba milik Teoh untuk dibangkitkan.

Gobind dengan lantang mencabar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membekalkan semua dokumen yang berkaitan agar pihaknya dapat menjawab mengenai pendedahan tersebut.

"Semalam kita telah diberitahu secara jelas bahawa soalan-soalan yang akan dikemukakan hanya menjurus kepada empat invois itu sahaja, tapi apa yang berlaku hari ini seolah-olah SPRM hendak mendedahkan semua bukti siasatan mereka. "Saya mahukan perintah mahkamah sekarang untuk menangguhkan prosiding ini supaya kami dibekalkan dengan semua dokumen dan jadikan prosiding inkues ini sebagai perbicaraan rasuah Teoh Beng Hock," tegas Gobind.

Bagaimanapun peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa menjelaskan kepada mahkamah bahawa keterangan yang didedahkan tersebut relevan dengan inkues ini.

"Inilah yang saya katakan relevan untuk menunjukkan keadaan fikiran si mati setelah beliau ditunjukkan dokumen berkaitan.

"Kita tak ambil kesempatan untuk burukkan si mati... kita bukan buat kejutan, ini berdasarkan dokumen yang menunjukkan ada syarikat tak buat kerja, pada saya ia adalah relevan," katanya.

Semasa kekecohan tersebut peguam bagi pihak kerajaan, Tan Hock Chuan bangun mencelah dan berkata: "Ini adalah prosiding inkues, oleh itu hanya perkara-perkara yang relevan untuk membantu koroner bagi menentukan kematian Teoh sahaja yang patut dibenarkan."

Terdahulu pada prosiding inkues hari ini, saksi ke-16, Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd Anuar Ismail dalam keterangannya mendedahkan kepada mahkamah kegiatan penyelewengan empat syarikat Bumiputera.

Syarikat-syarikat berkenaan meminjamkan kepala surat syarikat mereka kepada individu tertentu untuk menjalankan projek yang tidak wujud yang mendapat kelulusan Teoh dan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Maklumat berkenaan adalah berdasarkan empat keping invois yang diperoleh dan dicetak daripada komputer riba Teoh semasa si mati disoal siasat di pejabat SPRM pada 15 dan 16 Julai lepas.

"Pegawai penyiasat telah melakukan siasatan terhadap empat dokumen ini dan menunjukkan keempat-empat syarikat ini telah meminjamkan kepala surat syarikat mereka kepada individu tertentu dan syarikat terbabit telah menerima komisen," kata Mohd Anuar yang menyambung keterangan hari ini buat kali keempat.

Empat syarikat bekenaan ialah Syarikat Fizami Construction, Aris Enterprise, MKMN Enterprise dan MA Bina Melor Enterprise.

"Berdasarkan siasatan SPRM, syarikat Fizami telah memperolehi 21 projek bernilai RM147,812, syarikat Aris mendapat 14 projek bernilai RM88,275.30, syarikat MKMN dengan enam projek bernilai RM50,765 dan MA Bina Melor memperolehi tujuh projek dengan nilai RM69,010.

"Semua projek ini akhirnya pergi kepada Teoh dan Ean untuk tujuan kelulusan," kata Mohd Anuar.

Tiada ulasan: