Rabu, 26 Ogos 2009

Inkues: Teoh, ahli Majlis Perbandaran Kajang gaduh di tandas SPRM awal pagi

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


SHAH ALAM: Prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini dikejutkan dengan kenyataan bahawa tercetusnya pergaduhan antara mendiang dan Tan Boon Wah di tandas pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Pegawai penyiasat SPRM, Mohd Anuar Ismail berkata beliau mendapat maklumat bahawa pergaduhan tersebut berlaku kira-kira pukul 2 pagi pada 16 Julai lalu.

"Selepas kematian mendiang saya dimaklumkan oleh seorang pegawai SPRM yang bernama Bulkani (Paharuddin) bahawa terdapat pergaduhan antara Tan Boon Wah dan si mati dalam pukul 2 lebih dalam tandas SPRM Selangor," katanya.

Mohd Anuar berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-16 buat kali keempat di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.

Keterangan itu dibuat bagi menjawab soalan peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa sama ada beliau mendengar sebarang berita selepas mengetahui mengenai kematn Teoh.

Tan merupakan Ahli Majlis Perbandaran Kajang.

Beliau turut berada di pejabat SPRM pada hari tersebut sebagai saksi bagi kes siasatan suruhanjaya berkenaan.

Mohd Anuar juga dalam keterangannya hari ini menjelaskan kepada mahkamah bahawa beliau tidak bersetuju dengan kenyataan peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo yang berkali-kali menyatakan mendiang mati dalam tangan beliau sebagai pegawai penyiasat.

"Saya tidak bersetuju dengan kenyataan peguam itu (Gobind) kerana saksi (Teoh) telah dilepaskan pada pukul lebih kurang 3.30 hingga 3.45 pagi dan dia dibenarkan untuk pulang.

"Walau bagaimanapun beliau minta untuk kebenaran untuk berehat... pendapat saya beliau akan pulang selepas itu," katanya.

Mohd Anuar juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai sebab untuk menyebabkan kematian Teoh.

Tiada ulasan: