Jumaat, 28 Ogos 2009

Inkues: Pegawai SPRM malkum Teoh juga kelihatan gelisah di bangunan SUK

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui tidak mengeluarkan sebarang notis semasa menyerbu pejabat Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada 15 Julai lalu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Penolong Penguasa SPRM Selangor, Mohd Najeib Ahmad Walad semasa memberi keterangan pada prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini.

Mohd Najeib bagaimanapun berkata, tindakan tidak memberikan sebarang notis perlu kerana jika pihak berkenaan diberitahu lebih awal, berkemungkinan tiada sebarang dokumen akan diperolehi.

Beliau sebelum itu menjawab soalan peguam yang mewakili Ean Yong, Salim Bashir sama ada SPRM menyerahkan notis geledah semasa kehadiran mereka untuk mengambil sebarang dokumen atau bahan yang berkaitan.

"Tidak, kami tidak beri notis geledah, hanya beri notis sita," kata Mohd Najeib.

Mohd Najeib juga bersetuju dengan kenyataan Salim bahawa kehadiran SPRM secara mengejut telah mengundang rasa tidak selesa dan gelisah Ean Yong dan pembantu politiknya, Teoh.

"Saya bersetuju, keadaan itu (kedatangan SPRM) juga membuatkan mereka gelisah kerana tidak bersedia untuk menyambut kedatangan kami dan menyediakan dokumen yang dikehendaki," katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya hanya menyerahkan notis sitaan bagi menyita satu unit CPU dan komputer riba yang ditandatangani oleh Ean Yong dan Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd Anuar Ismail.

Mohd Najeib merupakan individu yang bertanggungjawab mencetak empat dokumen berupa invois daripada komputer riba milik Teoh.

"Manakala dalam CPU milik Teoh kami menemui maklumat berkaitan sumbangan untuk persatuan penjaja Seri Kembangan dan sumbangan untuk mangsa kebakaran.

"Dua lagi dokumen juga berkaitan dengan sumbangan tapi saya tidak ingat untuk pihak mana," katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut situasi semasa pihak SPRM berada di banguanan SUK, Mohd Najeib berkata, Teoh kelihatan berada dalam keadaan gelisah dan tidak selesa.

"Ketika di pejabat SUK, sewaktu diminta dokumen beliau sekejap duduk, sekejap bangun, ada keluar masuk (ke bilik mesyuarat) sehinggalah Mohd Anuar menyuruhnya duduk," katanya.

Jelas beliau, Teoh pada mulanya hanya menyerahkan dokumen peruntukan ADUN Seri Kembangan bagi tahun 2009.

"Selepas meneliti, kami memaklumkan kepada Teoh bukan ini dokumen yang dikehendaki dan meminta beliau menyerahkan dokumen bagi tahun 2008.

"Selepas saya semak dokumen (2008), apa yang dikehendaki itu tiada dan apabila ditanya dia (Teoh) gagal memberikan jawapan... ia menimbulkan keraguan.

"Kemudian Mohd Anuar mengarahkan saya membuat penyiasatan ke atas meja kerja Teoh dengan kehadiran Teoh sendiri," katanya.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang peruntukan kerajaan Selangor kepada SPRM negeri yang berpejabat di plaza itu.

Tiada ulasan: