Selasa, 4 Ogos 2009

Hukuman denda RM300,000 bekas CEO BSN Permodalan Berhad kekal

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman denda RM300,000 atau penjara setahun terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif BSN Permodalan Berhad yang didapati bersalah terhadap dua pertuduhan terlibat dalam urusan jualan singkat.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu setelah menolak rayuan Ahmad Skhri Ramli, 48, terhadap sabitan dan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen pada 21 Dis 2006.

Bagi tuduhan pertama, Ahmad Skhri didakwa telah bersubahat untuk menjual 2,000 unit saham AKN Technology Berhad melalui akaun Central Depository System sedangkan syarikat itu tidak berhak berbuat demikian.

Dia melakukan kesalahan itu di Permodalan BSN Berhad, Tingkat 18, Wisma BSN, Jalan Ampang di sini antara 9.19 pagi dan 4.46 petang 5 Jan 2000.

Bagi tuduhan kedua, Ahmad Skhri menghadapi tuduhan serupa melibatkan saham sebanyak 200,000 unit milik syarikat dan di tempat yang sama antara 9.20 pagi dan 4.57 petang 6 Jan 2000.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Rosmawar Rozain manakala Ahmad Shkri diwakili peguam Abdullah Abdul Rahman.

Tiada ulasan: