Isnin, 31 Ogos 2009

Harga siling bawang putih akan ditetap

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menetapkan harga siling bagi bawang putih sekiranya peniaga dan pemborong masih berdegil menaikkan harga bawang putih sesuka hati.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, tindakan tersebut sebagai jalan mengekang sikap pemborong dan peniaga yang mengambil kesempatan terhadap pengguna menjelang perayaan Hari Raya Aidilifitri tidak lama lagi.

Menurutnya, pegawai kementeriannya akan turun pada bila-bila masa bagi menyiasat sebarang aduan yang dikemukakan pengguna berhubung kenaikan harga bawang putih.

“Memandangkan berlakunya kenaikan harga tanpa timbang rasa, penetapan harga siling tidak dapat dielakkan,” katanya, semalam.

Kenaikan harga bawang putih dikesan beberapa hari lalu sekitar Ipoh, dan juga di Shah Alam, Selangor iaitu dari RM 1.80 kepada RM5.

Lian Hoe berkata, kerjasama semua pihak terutama pengguna dalam membanteras kenaikan harga bawang putih.

“Pengguna yang mempunyai maklumat kedai-kedai yang menaikkan harga, perlu melaporkan segera kepada kami melalui talian bebas tol 1800-886-800 tau pejabat KPDNKK menerusi 03-88825500,” katanya.

Dalam pada itu katanya, peniaga dan pemborong dinasihatkan agar bertimbang rasa terhadap pengguna dengan tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Berkenaan harga barang kawalan musim perayaan, beliau berkata, senarai itu akan diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh seminggu lagi.

“Bila senarai dikeluarkan, maka harganya juga sudah ditetapkan,” katanya.

Tiada ulasan: