Isnin, 17 Ogos 2009

Had umur Pemuda MIC 45 tahun

MALAYSIA KINI


Bagi menarik lebih ramai penyertaan golongan muda, had umur bagi keahlian Pemuda MIC serta pemegang jawatan dalam sayap tersebut, dilanjutkan dari 40 kepada 45 tahun.

Ketika mengumumkan perkara itu, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata, melalui langkah tersebut, MIC akan mempunyai lebih ramai ahli muda serta mampu menyediakan pemimpin pelapis.

Katanya, sebuah jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan mengkaji pindaan pada perlembagaan MIC telah menyiapkan laporannya untuk dibentangkan pada Persidangan Perwakilan MIC ke-63 pada 12 September untuk mendapatkan kelulusan para perwakilan.

"Usaha ini penting supaya MIC bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 di mana lebih dua juta pengundi baru dari golongan muda dijangka mengundi buat pertama kalinya," katanya ketika merasmikan serentak perhimpunan agung Wanita, Pemuda, Puteri dan Putera MIC ke-63 di ibunegara, lapor Bernama.

Walaupun Samy Vellu tidak menyatakan rasional melanjutkan had umur Pemuda, tetapi menurut seorang pegawai MIC, ia adalah berdasarkan kepada fakta bahawa wujud Pergerakan Putera dalam MIC sekarang yang juga mensasarkan golongan muda.

Samy Vellu juga berkata permohonan keanggotan dalam MIC akan diperluaskan melalui 'online' selepas mendapati ramai golongan muda dan berpendidikan tinggi yang ingin menjadi anggota mendapati sukar berbuat demikian kerana beberapa halangan tertentu.

Beliau juga meminta Pemuda MIC menubuhkan kumpulan pemikir dari kalangan yang berpendidikan tinggi bagi merangka strategi yang betul dalam menangani beberapa masalah yang dihadapi golongan muda India, termasuk isu sosial.

"Ahli-ahli Pemuda boleh mewujudkan blog mereka masing-masing dan menggunakan khidmat Facebook untuk berinteraksi dengan golongan muda ini, dan pada masa yang sama memberi penerangan mengenai kegiatan dan pencapaian parti kita," katanya.

Samy Vellu juga meminta sayap Wanita menggubal satu pelan tindakan yang lebih komprensif untuk golongan wanita dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mengenai konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak, Samy Vellu berkata ia telah mewujudkan pemikiran dan pandangan baru di kalangan masyarakat India terhadap Barisan Nasional.

"Mereka amat tertarik dengan konsep ini dan mahu MIC menggunakan peluang tersebut dengan sebaik mungkin. Mereka yakin bahawa MIC masih berkemampuan untuk mewakili mereka dan membawa perubahan dalam hidup mereka.

"Mereka menaruh harapan yang tinggi terhadap kita kerana mereka sedar bahawa tiada parti politik lain yang dapat menjaga kepentingan mereka," katanya.

Samy Vellu berkata masyarakat India kini dipengaruhi oleh kesedaran politik yang tinggi dan mereka lebih berani mencuba sesuatu yang baru.

"Oleh sebab itulah MIC juga perlu bergerak dengan peredaran masa dan membuat pembaruan. Kita mesti memikirkan jalan untuk mempengaruhi golongan pengundi baru ini dengan cara baru," tambahnya.

Tiada ulasan: