Isnin, 10 Ogos 2009

H1N1: Kawalan lebih drastik jika perlu

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengenakan langkah pengawalan yang lebih ketat dan drastik sekiranya perlu bagi mengelakkan virus selesema babi atau influenza A (H1N1) daripada terus menular.

Sambil melahirkan rasa bimbang dengan perkembangan yang berlaku, Perdana Menteri berkata, beliau akan berbincang dengan semua pihak yang terlibat bagi meneliti setiap cadangan sebelum mengambil sebarang keputusan.

''Cuma masalahnya kalau kita buat sesuatu ia akan melibatkan tindakan seperti membatalkan semua perjumpaan secara terbuka, pertemuan awam dan sebagainya sedangkan banyak keperluan untuk diadakan seperti mesyuarat parti politik, kegiatan rakyat dan sebagainya.

''Namun kalau perlu kita buat sesuatu yang lebih drastik, kita kena buat. Nampaknya kita tidak boleh biarkan perkara ini,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ampang dekat sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru H1N1 yang menyaksikan sebanyak lapan lagi kematian disahkan sebagai berpunca akibat virus tersebut hari ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat H1N1 meningkat kepada 26 di negara ini.

Sementara itu, Najib berkata, beliau akan mendengar terlebih dahulu sebarang pandangan atau cadangan spesifik daripada Kementerian Kesihatan esok sebelum mempertimbangkan sebarang syor dalam menangani wabak ini.

Kata beliau, ini disebabkan terdapat badan bertindak di peringkat kementerian yang terdiri daripada ahli profesional dan sehubungan itu penting untuk mendengar pendapat mereka ini sebelum sesuatu keputusan diambil.

''Lagi pun saya telah serahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi jawatankuasa peringkat Kabinet (Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1),'' jelasnya.

Tiada ulasan: