Selasa, 25 Ogos 2009

H1N1: Kanak-kanak 3 tahun mangsa terbaru

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menjadi korban terbaru influenza A(H1N1), menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 70 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata kanak-kanak tersebut mendapat rawatan awal pada 12 Ogos di hospital kerana demam sawan serta batuk selama dua hari.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan kanak-kanak malang itu semakin tenat pada 13 Ogos sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan rawatan Tamiflu dimulakan.

"Hasil ujian makmal mendapati kes positif influenza A(H1N1) pada 17 Ogos 2009.

"Walau bagaimanapun, beliau meninggal dunia pada 18 Ogos 2009 disebabkan 'Encephalitis with Cerebral Odema and Multiorgan Failure'," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, sejumlah 52 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 162 pesakit ILI telah dibenarkan keluar, menjadikan baki sebanyak 1,345 pesakit ILI sedang menerima rawatan di 82 hospital di seluruh negara.

Dr Mohd Ismail berkata daripada jumlah pesakit yang sedang dirawat, hanya 202 atau 15 peratus disahkan positif H1N1 dengan 42 kes sedang dirawat di ICU.

"Daripada 42 kes yang sedang dirawat di ICU, 38 kes mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (15), obesiti (sembilan), diabetes (enam), kanak-kanak/bayi (tiga), hamil/selepas bersalin (tiga) dan sindrom down (dua)," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata di peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan bahawa jumlah kes setakat hari ini ialah 239,397 dengan 2,578 kematian yang menunjukkan penularan pandemik H1N1 masih aktif di 182 negara.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama semua pihak terutama ibu bapa untuk mengawasi pergerakan anak mereka bagi mengekang penularan wabak itu memandangkan cuti sekolah telah bermula.

"Langkah yang bijak dan bertanggungjawab adalah memastikan mereka yang bergejala supaya berehat di rumah," katanya.

Tiada ulasan: