Jumaat, 7 Ogos 2009

Gula ditambah 20,000 tan metrik sebulan

Oleh ABDUL YAZID ALIAS


SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengarahkan empat syarikat pengilang gula tempatan menyediakan bekalan tambahan sebanyak 20,000 tan metrik sebulan untuk menampung kekurangan gula di beberapa kawasan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tambahan tersebut dibuat bagi memastikan bekalan gula sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan 4,000 tan metrik sehari oleh pengguna dan industri.

Katanya, ketika ini pengilang gula di negara ini menghasilkan pengeluaran sebanyak 100,000 tan merik sebulan untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata, jumlah pengeluaran itu kemungkinan tidak mencukupi untuk menampung pasaran tersebut terutamanya pada musim perayaan.

''Berdasarkan hasil maklumat dan tinjauan ke atas pengilang gula, kita dapati mereka mampu mengeluarkan maksimum 150,000 tan metrik. Malah mereka turut mengatakan mempunyai bekalan gula mentah yang mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kilang Central Sugar Refinery (CSR) di sini hari ini.

Tambah beliau, selain CSR, tiga lagi pengilang yang turut diarahkan menambah bekalan gula ialah Malayan Sugar Manufacturing (MSM) di Prai, Pulau Pinang, Gula Padang Terap (GPT) di Padang Terap (Kedah) dan Kilang Gula Felda Perlis (KGFP) di Chuping, Perlis.

Ismail Sabri turut meminta kesemua pengilang supaya mengeluarkan lebih banyak gula dalam bentuk paket satu kilogram dan dua kilogram bagi menyukarkan aktiviti penyeludupan bahan itu ke negara jiran yang harga pasarannya adalah lebih tinggi.

Malah, katanya, kementerian juga akan meningkatkan lagi usaha pemantauan serta mengesan pergerakan lori pengangkut gula yang keluar dari kilang bagi mengelak muatan produk itu keluar dari negara ini.

''Kita akan beri senarai kawasan yang berkurangan kepada pengilang ini supaya mereka dapat menghantar terus bekalan gula kepada pengguna.

''Dengan meningkatkan pemantauan diyakini bekalan gula dalam negara tidak akan berkurangan ekoran aktiviti penyeludupan. Malah pengguna jangan terpengaruh dengan sindrom 'belian panik' sehingga menyebabkan gula di kedai runcit berkurangan," jelasnya.

Tiada ulasan: