Sabtu, 1 Ogos 2009

Guan Eng MPPP tarik balik kelulusan kepada pemaju

BERNAMA


GEORGETOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini mengarahkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menarik balik kelulusan pembangunan yang diberikan kepada pemaju projek perumahan di Kampung Buah Pala, Nusmetro (P) Sdn Bhd bagi menghalang pembangunan di kawasan itu.

Lim berkata beliau menggunakan kuasanya sebagai Ketua Menteri untuk membatalkan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri terdahulu.

Katanya kerajaan negeri sekarang tidak terlibat dengan sebarang urusan atau kelulusan projek yang dicadangkan di situ dan jika pemaju mahu meneruskan projek itu, mereka perlu mengambil kira aspek sosial penduduk di situ.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Forum Indeks Bangunan Hijau anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) cawangan Utara di sini hari ini, beliau berkata pemaju boleh merobohkan rumah penduduk yang terlibat pada 3 Ogos ini tetapi tanah itu tidak boleh dibangunkan dengan apa juga projek pembangunan.

"Jika pemaju masih mahu meneruskan projek itu, mereka perlu mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan semua pihak termasuk penduduk kampung berkenaan," katanya.

Beliau berkata walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan memihak kepada pemaju namun ia bukan alasan untuk pemaju mengetepikan aspek sosial untuk membantu penduduk terlibat.

Tiada ulasan: