Sabtu, 22 Ogos 2009

Gerakerja Muslimat masuk fasa 'Gelombang kedua'

Ditulis oleh Te@M I.T


TANAH LIAT - Muslimat PAS menegaskan bahawa mereka sebagai tulang belakang kepada jentera pilihan raya PAS telah lama bersedia untuk berdepan dengan pelbagai cabaran pada Pilihan Raya Kecil Dun Permatang Pasir kali ini.

Ketua Muslimat PAS Pulau Pinang, ustazah Rahmah Mat Isa berkata pihaknya telah bersiap sedia untuk menjalankan gerak kerja bagi membantu PAS
Permatang Pasir mempertahankan kemenangan.

"Kami sudah merangka persiapan menjelang hari mengundi seperti logistik dan gerak kerja yang dijalankan petugas-petugas muslimat," katanya ketika
ditemui pada program Karnival Keluarga anjuran HalWa dengan kerjasama PAS Wilayah Persekutuan dan Dewan Pemuda PAS pagi tadi.

Menurutnya, setakat ini segala urusan yang melibatkan gerakerja kempen juga berjalan dengan lancar dengan bantuan PAS daripada negeri-negeri yang turun membantu.

"Kita telah masuk ke fasa gelombang kedua untuk proses mendekati pengundi dan alhamdulillah ia hampir selesai," ujarnya.

Jelasnya, pelbagai program dibuat termasuk rayuan undi, sukaneka, sumbangan, ziarah rumah ke-rumah dan banyak lagi.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kerjasama dengan wanita Pakatan Rakyat, beliau menyatakan ianya sangat baik.

"Kami mengadakan mesyuarat dalam setiap dua hari," katanya. Oleh yang demikian apabila ditanya mengenai peluang kemenangan, pihaknya optimis dengan perkembangan tersebut.

Lebih 1000 petugas muslimat PAS termasuk Nisa' hadir membantu gerak kerja pilihan raya kecil pada kali ini.

Kira-kira 300 hadir memeriahkan program Karnival Keluarga anjuran HalWa dengan kerjasama PAS Wilayah Persekutuan dan Dewan Pemuda PAS pagi tadi.

Pelbagai program yang dijalankan pada pagi ini bertempat di padang berhadapan Sekolah kebangsaan Tanah Liat, Bukit Mertajam.

Antaranya termasuk rawatan kecantikan, demonstrasi masakan roti, pemeriksaan kesihatan, ceramah keibu bapaan, pertandingan melukis dan
mewarna dan pertandingan 'snack ladeer'.

Cuaca yang mendung tidak menjejaskan kelancaran program termasuk pemeriksaan kesihatan dalam yang mendapat sambutan yang sangat baik dalam keadaan wabak influenza H1N1 yang kian menular sekarang ini.

Acara yang menarik perhatian pengunjung adalah Pertandingan Motor Lambat yang dikendalikan bekas Juara Motorsikal Prix Asia, Yassir Said dan
Demonstrasi masakan roti.

Pada sebelah petang pula, diadakan sesi pengedaran bubur lambuk kepada penduduk di kawasan Tanah Liat sempena kedatangan bulan Ramadhan.

Turut sama memeriahkan majlis tersebut, isteri calon PAS Permatang Pasir, Siti Fatimah Osman.

Program yang dimulakan seawal jam 8 pagi itu berlangsung dengan sambutan yang begitu menggalakkan daripada penduduk setempat.

Tiada ulasan: