Sabtu, 22 Ogos 2009

Cebisan dan tengkorak mangsa kapal MT Formosa ditemui

BERNAMA


PORT DICKSON: Beberapa cebisan tulang dan tengkorak dipercayai daripada tubuh dua mangsa krew kapal tangki MT Formosa Product Brick ditemui pasukan bomba dalam operasi mencari dan menyelamat petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan ACP Mohd Zaki Masrof berkata operasi bermula pada 5 petang itu membabitkan 81 anggota polis, bomba dan Jabatan Laut Negeri Sembilan.

"Kami telah memeriksa keseluruhan kapal empat tingkat tersebut dan kami menemui beberapa cebisan tulang dan tengkorak yang telah terbakar di dek kapal di tingkat dua," katanya kepada sidang media di sini semalam.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, identiti kedua-dua mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan serpihan tulang terbabit dihantar ke Hospital Port Dickson untuk ujian lanjut.

Selasa lepas, kapal tangki tersebut terlibat dalam pelanggaran dengan kapal MV Ostende Max di Selat Melaka menyebabkan sembilan anak kapalnya gagal menyelamatkan diri dan terperangkap dalam bilik enjin kapal itu.

Tiga belas daripada 22 anak kapal yang sebahagian besarnya warga China termasuk kapten kapal berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 8.50 malam tadi.

Mohd Zaki berkata operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada pukul 9.15 malam dan akan disambung semula pagi, hari ini.

"Usaha mencari baki tujuh lagi mangsa yang dipercayai telah meninggal dunia dan masih terperangkap akan diteruskan esok (hari ini)," katanya.

Katanya kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

Tiada ulasan: