Rabu, 26 Ogos 2009

BN akan teliti faktor kekalahan: Najib

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) sudah mencuba dengan baik dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, semalam.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, mungkin ada faktor-faktor tertentu perlu diambil kira oleh BN berikutan keputusan pilihan raya itu yang memihak kepada Pas.

“Dari satu segi kita dapat mengurangkan jumlah majoriti kemenangan parti lawan. Dari satu segi yang lain, kita mesti melihat apakah faktor-faktor yang boleh diperbaiki oleh parti kita.

“Saya tahu apa dia (faktor-faktor) dan kita akan mengkaji apakah kesilapan kita supaya pada masa akan datang kita akan melakukan usahayang lebih berjaya lagi,” katanya selepas melancarkan sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Najib mengulas keputusan pilihan raya kecil itu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon Pas Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi dan menewaskan calon BN, Rohaizat Othman yang memperoleh 5,067 undi.

Di BUKIT MERTAJAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, faktor kekalahan BN pada pilihan raya kecil itu, adalah sikap pengundi yang tidak mahu perubahan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, faktor lain yang menyumbang kepada kekalahan BN ialah kawasan Permatang Pasir adalah kubu kuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga kubu Pas.

"Pengundi di kawasan ini tidak mempunyai keinginan untuk membangunkan Permatang Pasir seperti ditawarkan BN, jika memenangi kawasan ini.

"Pengundi Cina juga ramai di sini dan ia berbeza dengan senario pilihan raya kecil DUN Manek Urai, baru-baru ini," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Induk BN di sini, malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri juga tidak menafikan faktor calon BN iaitu Rohaizat yang mempunyai pelbagai isu peribadi turut menyumbang kepada kekalahan BN.

Katanya, pembangkang mengeksploitasikan isu itu secukupnya untuk mengganyang Rohaizat sehingga menyumbangkan kepada kekalahan BN.

"Kita mengambil kira faktor ini, tetapi pada penghujung kempen, isu itu dapat diatasi dan kalau tidak ia mungkin akan jadi lebih teruk.

"Keputusan pilihan raya kecil ini tidak banyak berbeza daripada pilihan raya umum 2008 dan jika faktor penolakan calon yang bertanggungjawab sepenuhnya, sudah tentu, keputusannya tidak seperti hari ini (semalam)," katanya.

Muhyiddin berkata, pengundi menunjukkan minat kepada BN ketika lawatan dilakukan di kawasan mereka, tetapi sikap mereka tetap tidak berubah dengan mengundi pembangkang.

Katanya, walaupun tewas dalam pilihan raya berkenaan, BN tetap menerima keputusan itu kerana ia kehendak rakyat selaras dengan demokrasi berparlimen.

Beliau berkata, BN tetap akan bekerja keras dan membina semula kekuatan jenteranya bagi merebut semula kawasan itu.

Tiada ulasan: