Jumaat, 14 Ogos 2009

Blog buang artikel 'konspirasi' selepas dinafi PAS S'gor

Abdul Rahim Sabri






Seorang penulis blog isu PAS membuang artikel - yang mendakwa wujud konspirasi menyingkirkan beberapa wakil rakyat pro-Pakatan Rakyat - selepas dinafikan oleh ketua penerangan PAS Selangor.

Artikel 'Konspirasi Membuang YB Saari Sungib dan Yang Menentang Idea Persepakatan PAS-Umno di Selangor', yang didakwa dikirim kepada blog tersebut, dimuat semalam.

Semakan Malaysiakini jam 1 tengah hari tadi menunjukkan ia sudah ditarik balik walaupun semakan awal pukul 10.30 pagi mendapati ia masih ada bersama artikel mendoakan kesihatan Dr Lo' Lo' Ghazali, ahli parlimen PAS bagi Titiwangsa.

Blog Malaysia Waves yang dikendalikan penulis 'Tulang Besi' mendakwa wujud satu mesyuarat di bangunan setiausaha kerajaan Selangor pada 30 Julai yang turut dihadiri Roslan Shahir Mohd Shahir, ketua penerangan PAS negeri.

Bekas setiausaha presiden PAS itu bagaimanapun menafikan beliau hadir di situ kerana sedang berehat di rumah selepas mendapat rawatan di hospital.

Sejak tahun lalu, Roslan berdepan dengan beberapa tuduhan di dalam dan di luar parti, termasuk di Malaysia Waves, berhubung pergeseran dalaman sehingga pernah dilabelkan memainkan "peranan subversif" untuk menyingkirkan "kumpulan Erdogan".

Bagaimanapun Roslan enggan mengulas lanjut dengan alasan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihatkan beliau agar tidak memberikan sebarang respons.

Tiada ulasan: