Rabu, 5 Ogos 2009

Belian panik punca gula makin kurang

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Kekurangan gula bukan hanya membabitkan beberapa negeri, malah hampir seluruh negara mula mengalami masalah sama termasuk di ibu kota.

Kebanyakan peniaga di ibu kota resah apabila bekalan semakin sukar diperoleh, malah ada premis perniagaan tiada bekalan langsung.

Peniaga kedai runcit di Pantai Dalam, Mohd Sahiri Ismail, 34, berkata beliau sukar mendapatkan gula sejak seminggu lalu dan terpaksa mengehadkan penjualan.

“Hari ini saya menjual stok gula, jika habis tiada lagi bekalan untuk dijual. Pemborong memberi pelbagai alasan, malah saya terpaksa membeli barang lain beribu ringgit untuk mendapat sedikit gula.

“Jika tiada gula pembeli menuduh peniaga sorok barang. Pihak berkuasa perlu menangani masalah ini,” katanya di sini, semalam.

Di KEPALA BATAS, kekurangan gula yang serius di Kedah dan Perlis turut berlaku di Pulau Pinang sehingga memaksa beberapa pasar mini mengehadkan pembelian dua kilogram seorang.

Pengurus Pasar Mini UME, Eric Kuik, berkata kekurangan bekalan sejak Jun lalu dan makin serius kebelakangan ini sehingga memaksanya ke Sik, Kedah untuk mendapat bekalan.

“Saya tak pasti puncanya kerana ia berlaku setiap tahun,” katanya, semalam.

Di KOTA BHARU, kekurangan bekalan membimbangkan peniaga runcit dan makanan yang terpaksa menunggu seminggu untuk mendapatkan bekalan yang dijangka boleh menjejaskan perniagaan mereka.

Peniaga kedai makan dari Bachok, Hashimah Mohamad, 43, berkata beliau kini tertekan kerana terpaksa berulang-alik ke Kota Bharu untuk mendapatkan gula.

“Masalah ini dirasai sejak dua minggu lalu dan jika berlarutan, perniagaan kedai makan saya terjejas,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) meminta pengguna tidak membuat pembelian panik bagi mengelak bekalan terus berkurangan.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Shaani Abdullah, berkata pengguna tidak perlu panik kerana kerajaan sudah memberi jaminan bekalan gula mencukupi.

“Fomca nasihatkan pengguna beli ikut keperluan bukan melebihi apa diperlukan. Jika pengguna membuat belian panik, ia terus menggugat pasaran,” katanya.

Muhammad Shaani berkata, Fomca mencadangkan pihak berkuasa menyenaraikan nama pembekal dan jumlah gula dikeluarkan melalui laman web bagi mengelak penyelewengan.

Tiada ulasan: