Rabu, 12 Ogos 2009

Plaza Ipoh Utara catat nahas kedua

BERITA HARIAN ONLINE


IPOH: Plaza Tol Ipoh Utara yang lebih setahun dibuka bagi menggantikan 'plaza maut' di Jelapang, mencatat kemalangan kedua semalam apabila sebuah lori melanggar kereta Perodua Kenari sebelum merempuh pondok kutipan tol dan terbabas ke arah penghadang besi pejabat plaza tol.

Dalam kejadian jam 3.28 petang itu, lori yang membawa muatan batu dari Pulau Pinang dikatakan hilang kawalan lalu melanggar Perodua Kenari yang berhenti untuk membayar tol.

Pemandu kereta itu, Heng Su Kiang, 30, berkata ketika kejadian dia berhenti di salah sebuah pondok kutipan tol apabila tiba-tiba dilanggar dari belakang.

"Lori muncul secara tiba-tiba dan hilang kawalan lalu melanggar kereta saya menyebabkan ia berpusing dua kali. Lori itu kemudian merempuh pondok tol.

"Bagaimanapun, pada waktu itu tiada pekerja di dalam pondok kutipan tol terbabit jika tidak berkemungkinan perkara yang lebih buruk akan terjadi," katanya yang masih dalam keadaan terkejut.

Heng dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Ipoh atas urusan kerja turut cedera di tangan dan leher kanan namun tidak begitu serius.

Oktober tahun lalu, lima penumpang bas ekspres cedera selepas treler yang membawa muatan jentera berat dari Sungai Petani ke Johor Bahru hilang kawalan dan melanggar tembok berhampiran pondok tol sebelum merempuh bahagian belakang bas ekspres.

Tiada ulasan: