Khamis, 6 Ogos 2009

Batal lesen pemborong sorok bekalan gula

Kerajaan beri amaran kepada peniaga ambil kesempatan

BERITA HARIAN ONLINE


BANDAR SERI BEGAWAN: Kerajaan akan membatalkan serta-merta lesen pemborong gula yang didapati menyorok atau menyeleweng bekalan hingga menyebabkan kekurangan bahan itu di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya serius dalam menangani masalah kekurangan bekalan gula yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan, terutama negeri bersempadanan dengan negara jiran.

"Kalau kita siasat ada pemborong sorok bekalan, kita tarik lesen serta-merta... tak perlu senarai hitam.

"Dalam erti kata lain, kementerian tidak akan memberi peluang kedua kepada pemborong tamak seperti ini," katanya ketika ditemui di The Empire Hotel and Country Club, di sini, semalam.

Beliau adalah antara lapan Menteri Kabinet yang menyertai rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei ke-13 di Istana Nurul Iman, semalam.

Gula dikatakan sukar diperoleh di beberapa kawasan di seluruh negara sejak kebelakangan ini, dengan peniaga memberi alasan tidak mendapat bekalan daripada pembekal.

Ismail Sabri memberi jaminan bekalan gula semasa adalah mencukupi walaupun permintaan naik mendadak menjelang bulan puasa dan Aidilfitri, terutama di kalangan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sementara itu, di BUKIT MERTAJAM, sebuah kilang pengeluar produk makanan di negeri ini terpaksa menghentikan operasi mereka sementara waktu berikutan kesukaran mendapatkan bekalan gula sejak tiga minggu lalu.

Kilang berkenaan ialah Perniagaan Rohaya dan Abu Bakar di Permatang Batu dekat sini, yang mengeluarkan sos cili dan kicap.

Pengurus Pembangunan Perniagaan syarikat itu, Muhamad Zaki Rafiee, berkata kilang terbabit terpaksa menghentikan operasi mereka selama seminggu dan semua pekerja terbabit ditugaskan membersihkan premis berkenaan sementara menunggu bekalan gula pulih.

Di BATU PAHAT, hampir semua pasar raya besar dan kedai runcit di sekitar daerah ini, didapati mengalami masalah kekurangan bekalan gula pasir sehingga menyebabkan pengguna terpaksa mengunjungi beberapa kedai bagi mendapatkan bekalan gula, untuk keperluan masing-masing.

Peniaga, Rosdi Abu Bakar, 38, berkata pihaknya mengalami masalah seperti dituduh segelintir pengguna sebagai cuba menyorok bekalan gula.

Di KUCHING, selepas beberapa negeri di Semenanjung dilaporkan mengalami masalah kekurangan bekalan gula, pengguna di Sarawak turut berhadapan masalah sama.

Penduduk di kawasan Santubong, Buntal dan Samariang mula gelisah apabila kedai runcit mulai kehabisan stok gula.

Tiada ulasan: