Rabu, 12 Ogos 2009

Bas tak lebih 15 tahun dibenar operasi Aidilfitri

BERITA HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA: Hanya bas berusia tidak melebihi 15 tahun akan dibenarkan beroperasi sebagai bas ekspres tambahan bagi perjalanan ketika musim Aidilfitri tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata bas yang berusia 12 tahun ke bawah akan dibenarkan beroperasi tanpa had jaraknya, manakala kenderaan berusia 12 hingga 15 tahun dibenarkan beroperasi dalam jarak maksimum 300 kilometer sehala.

Beliau berkata, tempoh bagi lesen perubahan sementara (LPS) bagi Aidilfitri tahun ini ialah antara 13 September hingga 28 September.

"Tambang bas ekspres adalah mengikut kadar baru yang diluluskan oleh kerajaan berkuat kuasa 1 Ogos lalu, manakala bas ekspres tambahan dibenarkan mengenakan caj tambahan RM3 bagi setiap tiket yang dijual," katanya di sini semalam.

Beliau berkata, permohonan LPS akan dibuka mulai 22 Ogos hingga 18 September ini.

Selain itu, katanya, LPKP akan bertindak tegas terhadap pemilik bas ekspres yang bersekongkol dengan ‘ulat’ bagi menjual tiket, sebaliknya syarikat perlu menjual sendiri tiket bagi mengelak pengguna diperdaya.

Katanya, bas RapidKL pula dibenarkan menyediakan perkhidmatan pengantara dari Hentian Puduraya ke Hentian Duta dan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil dengan kadar tambang RM2 sehala.

Terminal bas ekspres tambahan dibuka di Hentian Putra dan Pekeliling bagi perjalanan ke Timur; Puduraya dan Duta bagi ke Utara; Kompleks Sukan Negara bagi ke selatan kecuali ke Seremban yang dikekalkan di Puduraya serta beberapa lokasi lain seperti di Gombak, Kajang, Putrajaya dan Damansara Utama.

Tiada ulasan: