Isnin, 17 Ogos 2009

Bahagian UMNO setuju perlembagaan parti dipinda

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM


PETALING JAYA – Hampir semua bahagian UMNO di seluruh negara yang habis bersidang hari ini bersetuju supaya perlembagaan parti itu dipinda bagi menangani gejala politik wang ketika kempen pemilihan.

Pindaan itu termasuk menyerahkan pemilihan kepimpinan tertinggi parti itu kepada golongan akar umbi dan bukannya ditentukan oleh segelintir ahli yang menjadi perwakilan ke perhimpunan agung sahaja.

Bahagian-bahagian juga mahukan sistem kuota yang mengekang ahli parti daripada menawarkan diri dan bertanding dihapuskan terus dalam sistem pemilihan parti.

Selain itu, terdapat juga cadangan daripada ahli akar umbi parti supaya pemilihan peringkat cawangan, bahagian dan Pusat dijalankan serentak, bukannya berperingkat seperti yang diamalkan sekarang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan berkata, semua cadangan daripada bahagian itu akan dikumpulkan bagi diteliti kesesuaian dan rasional di sebalik pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli daripada peringkat akar umbi.

Menurut beliau, pada bulan Ramadan ini Jawatankuasa Teknikal dan Induk Pindaan Perlembagaan akan bermesyuarat bagi memperhalusi setiap cadangan yang diterima.

Katanya, ia kemudiannya akan dibentangkan kepada mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO bagi membolehkan usul mengenai pindaan berkenaan di bawa ke perhimpunan agung khas nanti.

“Idea dan pandangan ini datang daripada ahli akar umbi, inilah hasrat saya dan kepimpinan parti bagi mengupayakan ahli daripada semua peringkat dengan mendengar pendekatan yang mungkin baru atau rintihan mereka yang mahukan parti keramat ini terus diperkasa dan kekal relevan,” katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini berkata, UMNO akan membuat keputusan berhubung dua kaedah pemilihan jawatan tertinggi dalam pindaan perlembagaan parti itu pada Perhimpunan Agung UMNO yang bermula 13 hingga 16 Oktober ini.

Dua kaedah itu ialah proses pemilihan ditentukan oleh 60,000 perwakilan di peringkat bahagian atau menerusi ‘pilihan raya’ membabitkan tiga juta ahli di peringkat cawangan.

Menurut Najib, pindaan perlembagaan itu dilihat dapat menutup ruang berlakunya politik wang di kalangan calon yang bertanding pada setiap kali pemilihan parti.

Jelas Hishammuddin, antara cadangan yang paling banyak diterima ialah soal masa pemilihan jawatan penting di semua peringkat yang dicadangkan supaya dilakukan serentak.

Katanya, ahli akar umbi juga mahukan sistem kuota yang mengekang ahli parti daripada menawarkan diri dan bertanding dihapuskan terus dalam sistem pemilihan parti.

“Tetapi apa yang menarik cadangan penghapusan sistem kuota itu diimbangi dengan cadangan supaya hanya calon-calon berkualiti dan berwibawa sahaja dibenarkan.

“Ia amat penting bagi mengelak pertandingan memilih ketua seolah-olah seperti menjadi medan mainan yang tidak serius,” katanya.

Beliau memberitahu terdapat juga ahli yang menyentuh mengenai senario menghalang penglibatan sesetengah ahli berwibawa di peringkat cawangan lagi, suara Wanita juga tidak diberikan tempat yang sepatutnya.

Tiada ulasan: