Isnin, 10 Ogos 2009

Arak atau minuman keras? Kedah mahu kaji definisi

MSTAR ONLINE


ALOR SETAR: Kerajaan Kedah mahu supaya kajian dibuat bagi mentafsirkan minuman keras sebagai arak yang memabukkan berdasarkan undang-undang, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata, kajian ini perlu untuk membezakan minuman yang didefinisikan sebagai arak dan bukan arak.

"Adakah bir yang dijual secara terbuka itu boleh didefinisikan sebagai arak? Ini perlukan kajian agar tafsirannya mengikut undang-undang adalah betul," katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Azizan berkata, kerajaan negeri tidak akan melaksanakan undang-undang 'tangkap muat' yang diragui keberkesanannya dan akhirnya dipertikaikan.

Mengulas isu penjualan bir secara terbuka di Selangor, beliau berkata, masalah yang berlaku di Selangor dan Kedah tidak sama.

Katanya, kerajaan masih mengumpul maklumat berkaitan penjualan arak dan maklumat yang diterima menunjukkan ramai ibu bapa mengadu banyak masalah sosial wujud berpunca daripada judi dan minuman keras yang memabukkan.

"Kerajaan akan kaji penjualan arak atau minuman keras di Langkawi. Untuk mengawal penjualannya perlu ada undang-undang khusus," kata Azizan dipetik Bernama

Beliau berkata, penjualan arak hanya dibenarkan kepada yang berlesen dan kuasa mengeluarkan lesen terletak kepada Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan (PBT).

"Daripada segi pelaksanaan terpulang kepada PBT. Saya tidak mahu Kedah jadi pusat arak," katanya.

Tiada ulasan: