Isnin, 3 Ogos 2009

Arab Saudi sedia empat juta dos vaksin

SINAR HARIAN ONLINE


RIYADH - Kementerian Kesihatan Arab Saudi menyediakan hampir empat juta dos vaksin bagi menghindarkan ancaman virus Influenza A (H1N1) yang dijangka meningkat menjelang musim haji dan umrah yang bakal tiba beberapa bulan lagi.

Menteri Kesihatan, Dr Abdullah Al-Rabeeah memberitahu mengenai perkara itu dalam sidang media di kementeriannya kelmarin.

Menurutnya, sidang media khas itu diadakan bagi menjelaskan kepada umum mengenai semua perkembangan terkini berhubung penularan wabak H1N1 di Arab Saudi.

"Kami mahu bersikap telus dalam semua aktiviti berkaitan kawalan, penularan dan rawatan bagi wabak itu di negara ini," katanya.

Beliau turut memberi jaminan kepada keluarga mangsa yang mati akibat H1N1 bahawa siasatan penuh akan dilakukan bagi mengesan punca kematian mereka.

Sampel darah empat mangsa HINI yang maut di negara ini sudah dihantar kepada Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat (AS) untuk keperluan analisis, katanya.

Beliau juga menegaskan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Saudi untuk menjaga keadaan kesihatan semua bakal haji.

Tiada ulasan: