Isnin, 24 Ogos 2009

AMK desak dokumen PKFZ didedah segera

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mencadangkan supaya dokumen-dokumen berkenaan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang menjadi isu sensasi didedahkan segera kepada umum.

Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut berkata, pendedahan terbuka ini amat penting bagi memastikan rakyat yang merupakan pembayar cukai mengetahui dan mempunyai akses kepada butir-butir segala transaksi PKFZ.

Menurut beliau, skandal PKFZ yang melibatkan sejumlah besar wang rakyat perlu disiasat dan didedah kerana kepentingan wang rakyat terlalu besar telah dikorbankan untuk projek ini.

“AMK Selangor menggesa kerajaan negeri dan juga pusat agar mengklasifikasikan semula dokumen-dokumen sulit dan rahsia yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA). Ia diharap membolehkan semua pihak mengetahui butir-butir sebenar berkenaan sebarang transaksi PKFZ.

“AMK Selangor berharap pihak Kerajaan Negeri Selangor menggunakan kuasa-kuasa yang ada pada Menteri Besar untuk mengklasifikasikan dokumen-dokumen penting bagi mendedahkan skandal besar ini. Sudah tiba masanya, prinsip kerajaan amanah, telus dan terbuka dilaksanakan dengan lebih giat lagi,” katanya.

Mohd Ezli berkata, ia bagi memastikan segala wang perbelanjaan rakyat dapat diketahui oleh semua pihak dan mengelakkan wang rakyat tidak dibelanjakan sesuka hati tanpa sebarang pengetahuan pihak rakyat.

AMK Selangor juga kata beliau, menggesa segala unsur penyelewengan dan salah urus tadbir disiasat dengan teliti bagi memastikan pihak yang bersalah didakwa dan tidak terlepas dikenakan sebarang tindakan undang-undang, katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu meningkatkan kesedaran mereka berkenaan urus tadbir wang negara kerana kita mahu menjadikan negara ini maju dan rakyat terbela.

“Kita mahu menjadikan negara ini kembali bersaing di peringkat serantau dan global melalui pembangunan projek-projek yang berdaya saing dan mempunyai prospek yang cerah. Projek-projek yang dilaksanakan mestilah mampu memberi manfaat kepada negara dan juga rakyat bukan hanya kepada segelintir kelompok sahaja.

“AMK Selangor yakin kini rakyat semakin prihatin berkenaan wang rakyat diurus dan belanjakan. Kesedaran ini amat penting bagi memastikan kisah skandal PKFZ yang mencecah bilion ringgit adalah skandal yang terakhir,” katanya.

Beliau berkata, semua pemimpin dan rakyat perlu sedar, kita sudah kesuntukan masa untuk kembali membawa negara ini menjadi sebuah negara yang hebat dalam ekonomi di serantau ini.

Kerajaan juga perlu belajar daripada kesilapan pengurusan dan salah tadbir urus sesebuah projek besar yang lepas. Kembalikan segera wang rakyat kepada kebajikan rakyat semula agar dapat menikmati semula keselesaan yang telah lama hilang.

Tiada ulasan: