Rabu, 19 Ogos 2009

Ambil kesempatan: Kes calon BN kena pecat jadi isu

KLPOS.COM


BUKIT MERTAJAM: Para pemimpin Pakatan Rakyat (PR) telah mengambil kesempatan isu pemecatan calon Barisan Nasional (BN)-Umno, Rohaizat Othman, daripada Majlis Peguam Malaysia dalam kempen pilihan raya kecilnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir semalam.

Ini selepas majlis peguam berkenaan menekankan bahawa para peguam tidak akan dipecat jika yang melakukan kesalahan itu adalah rakan kongsi mereka seperti yang disebut oleh BN baru-baru ini, menurut beberapa laporan media setempat.

Pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang, semalam dipetik oleh laman berita The Malaysian Insider sebagai berkata calon BN itu harus menarik diri daripada bertanding menentang calon Parti Islam SeMalaysia (PAS), Ustaz Mohd Salleh Man, dalam pilihan raya kecil DUN itu, yang akan berlangsung pada Selasa ini.

Ini, menurutnya, adalah untuk mengelakkan Rohaizat daripada memalukan BN 'kerana telah menipu mereka mengenai sebab sebenar beliau dipecat oleh Majlis Peguam daripada menjadi seorang peguam'.

'Soalan pertama yang harus ditanya sejak bermulanya pilihan raya kecil Permatang Pasir ini ialah sama ada para pengundi boleh mempercayai calon yang telah menipu parti politiknya sendiri mengenai pemecatan beliau oleh Majlis Peguam daripada mempraktikkan kerjayanya sebagai peguam?' kata Lim, dalam satu kenyataannya yang ditukil oleh The Malaysian Insider semalam.

Dua calon pilihan raya kecil itu adalah peguam syariah. Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir diadakan selepas penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 31 Julai lalu.

Dengan penamaan Rohaizat sebagai calonnya, BN berharap dapat menghakis majoriti undi 5,433 yang diraih Datuk Mohd Hamdan pada pilihan raya umum Mac tahun lalu.

BN sebaliknya memberikan pelbagai alasan untuk menangkis dakwaan PR bahawa calon Umno itu terbabit dalam menyalahgunakan wang pelanggannya.

Difahamkan bahawa Rohaizat - bukan rakan kongsinya - yang dinamakan pihak pengadu berhubung penyalahgunaan wang pelanggan sekitar RM161,000 itu, lapor The Malaysian Insider.

Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, walaupun mengesahkan pemecatan Rohaizat daripada majlis peguam itu, baru-baru ini berkata Rohaizat tidak bersalah dan terbabit secara tidak langsung kerana beliau adalah rakan kongsi firma guamannya itu.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia, pula kelmarin mendakwa bahawa pakatan pembangkang sengaja menimbulkan kontroversi untuk melemahkan kredibiliti calon BN itu.

Sementara itu, sumber-sumber yang dipetik laman berita Malaysiakini semalam berkata kira-kira 65 peratus ketua cawangan Umno serta ketua Pemuda cawangan DUN Permatang Pasir kurang senang dengan pemilihan Rohaizat.

Ini kerana mereka mengharapkan Ketua Pemuda Umno bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said, yang mesra dengan panggilan 'Cikgu', dipilih sebagai calon Umno, kata seorang sumber.

Tiada ulasan: