Ahad, 2 Ogos 2009

A(H1N1): Kanak-kanak usia 10 tahun mangsa kelima

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Bagan Serai, Perak, menjadi mangsa kelima meninggal dunia akibat jangkitan virus influenza A(H1N1) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, keputusan bedah siasat ke atas mangsa yang meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bagan Serai pada pukul 5.30 pagi semalam disahkan positif virus A(H1N1).

Katanya, ujian sampel kahak yang diambil semasa bedah siasat itu telah disahkan positif oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

"Mengikut maklumat yang diperolehi, kanakkanak ini telah mula sakit pada 27 Julai tetapi tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan pernafasan semasa mendapatkan rawatan sebgai pesakit luar di sebuah klinik swasta," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, malam tadi,

Dr. Mohd. Ismail berkata kanak-kanak itu mengadu sesak nafas pada malam 28 Julai lalu dan mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Bagan Serai pada hari berikutnya.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan yang dibuat menunjukkan keadaan kanak-kanak itu stabil, tidak sesak nafas, tiada cyanosis dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar dengan antibiotik dan ubat batuk.

Katanya. pesakit tersebut kembali semula ke klinik berkenaan semalam dan semasa pemeriksaan pada pukul 5 pagi, mangsa mengalami sesak nafas, deman dengan suhu 39 darjah Celcius dan cyanosis sebelum tiba-tiba tidak sedar sebelum meninggal dunia 30 minit kemudian.

Dr. Mohd Ismail berkata. bedah siasat yang dilakukan di Hospital Alor Setar semalam mendapati mangsa mempunyai tanda-tanda radang paruparu teruk.

Katanya, semua ahli keluarga terdekat telah membuat pemeriksaan di mana kedua-dua ibu bapa mangsa adalah sihat sementara lima beradik mengalami jangkitan pernafasan atas yang ringan dan berada dalam keadaan stabil.

Tiada ulasan: