Ahad, 23 Ogos 2009

ADUN Lunas Radzhi keluar PKR

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas di Kedah, Mohammad Radzhi Salleh pagi tadi mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Keputusan diumumkan beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Perkembangan ini muncul menjadi krisis kedua dalam tempoh dua bulan membabitkan Pakatan Rakyat Kedah.

Radzhi yang juga Exco Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat Serta Sumber Tenaga Manusia Kedah bagaimanapun tidak meletakkan jawatan Exco itu dan menganggap dirinya masih Exco dari parti Bebas.

Beliau berkata, pelantikannya memegang portfolio itu dibuat oleh Sultan Kedah dan bukannya oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Bagaimanapun katanya, jika Sultan Kedah menitahkan beliau untuk melepaskan jawatan itu, beliau akan patuh untuk berbuat demikian.

Selain itu, pemangku Ketua Bahagian PKR Padang Serai, Jamaluddin Abu Hassan turut mengumumkan bahagian tersebut juga dibubarkan.

Radzhi memenangi kerusi itu dengan memperoleh 17,836 undi. Majoriti beliau ialah 10,323.

Radzhi menewaskan calon BN, Ananthan Somasundram.

PKR mempunyai enam kerusi DUN di Kedah termasuk kerusi Bukit Selambau yang dimenangi sendiri pada pilihan raya kecil April lalu.

Tiada ulasan: