Khamis, 20 Ogos 2009

Adun Kota Seputeh serah kepada Umno Kedah untuk bertindak

BERITA HARIAN ONLINE


ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Seputeh, Datuk Abu Hassan Sarif, yang mungkin digugurkan daripada jawatan kerana gagal menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, menyerahkan kepada Perhubungan Umno Negeri untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Abu Hassan berkata, beliau sudah memberi penjelasan kepada Badan Perhubungan Umno Negeri, Speaker DUN, Datuk Dr Abdul Isa Ismail dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kegagagalannya menghadiri sidang berkenaan pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Katanya, pada 9 Ogos lalu beliau sudah bersiap untuk menghadiri sidang DUN berkenaan, tetapi terpaksa membatalkannya apabila tiba-tiba diserang sakit dada.

"Saya pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan diberikan sijil cuti sakit selama dua hari pada 9 dan 10 Ogos.

"Pada keesokannya saya menghantar sijil cuti sakit dan surat tunjuk sebab kepada pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) melalui faksimili selain cuba menyerahkan sendiri ke rumah Dr Abdul Isa, tetapi gagal kerana beliau berada di Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan khairat kematian di Wisma Umno Jerlun, di sini, hari ini.

Abu Hassan berkata, beliau juga kecewa apabila Dr Abdul Isa tidak menyertakan salinan sijil cuti sakitnya dalam surat bertarikh 17 Ogos lalu yang hantar kepada SPR untuk memaklumkan kegagalannya itu menghadiri sidang DUN selama dua kali.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada peguam Umno untuk mengendalikan kes berkenaan.

Berita Harian hari ini melaporkan Abu Hassan mungkin digugurkan dari jawatan kerana gagal menghadiri sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker.

Laporan itu menyebut Dr Abdul Isa berkata, beliau sudah menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada April dan Ahad lalu.

Umno Kedah juga sudah menyerahkan kes itu kepada peguam parti untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk membawa kes itu ke mahkamah jika Adun berkenaan digugurkan daripada jawatan.

Tiada ulasan: