Rabu, 19 Ogos 2009

Adun Kota Seputeh mungkin digugur

BERITA HARIAN ONLINE


ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Seputeh, Datuk Abu Hassan Sarif kemungkinan digugurkan daripada jawatan kerana gagal hadir dua kali sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa kebenaran Speaker.

Speaker DUN, Datuk Dr Abdul Isa Ismail, berkata beliau sudah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan Ahad lalu.

Beliau berkata, mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

"Abu Hassan tidak menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu. Mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, tempat beliau itu perlu dikosongkan dan jawatannya sebagai Adun perlu dilucutkan.

"Selain itu, Abu Hassan langsung tidak menjelaskan kepada saya sebab beliau gagal hadir sidang DUN pada 19 April lalu," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan peguam Umno.

Tiada ulasan: