Selasa, 4 Ogos 2009

8 majlis agama Islam dibenar jadi pencelah

Oleh Norhashimah Mohd Radzali


KUALA LUMPUR: Lapan Majlis Agama Islam Negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MCMA) dibenarkan menjadi pencelah dalam semakan kehakiman baru Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur berhubung larangan penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan akhbar mingguannya, Herald-The Catholic Weekly (Herald).

Hakim Mahkamah Tinggi, Lau Bee Lan membuat keputusan itu di dalam kamar, semalam.

Lapan majlis agama itu, Majlis Perak Islam Perak (Maip), Majlis Agama Islam Terengganu (Mait), Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Majlis Agama Islam Kedah (Maik), Majlis Agama Islam Johor (Maij), Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan Majlis Gurdwara Malaysia (Gurdwara) untuk menjadi pencelah dalam semakan kehakiman itu.

Beliau menetapkan 25 Ogos ini untuk mendengar hujah awal dikemukakan sembilan pencelah berhubung isu larangan itu yang tidak boleh dihakimi.

Ketika ditemui selepas prosiding berakhir, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said, berkata mahkamah menolak permohonan Gurdwara untuk menjadi pencelah kerana pertubuhan itu gagal menjelaskan mengapa larangan itu turut memberi kesan kepada mereka.

Kamaluddin berkata, perkara utama dalam semakan kehakiman itu berhubung penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan Herald, tetapi akhbar berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Gurdwara.

Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A Dadi pula berkata, kebenaran diberikan kepada lapan majlis agama itu kerana mereka mempunyai kepentingan dalam semakan itu sebagai penasihat kepada Sultan atau Yang di-Pertuan Agong yang mengetuai agama Islam.

Katanya, MCMA juga memikul tanggungjawab yang sama terhadap mualaf Cina.

Sementara itu, peguam Balwant Singh Sidhu yang mewakili Gurdwara, berkata pihaknya akan berbincang untuk menimbangkan sama ada akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Pada 16 Februari lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, selaku pemohon dan penerbit Herald, memfailkan semakan kehakiman baru berhubung permohonannya itu berikutan semakan kehakiman pada 2008 menjadi akademik selepas permit penerbitan akhbar berkenaan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2008 sudah tamat.

Dalam permohonannya, Pakiam menamakan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam usahanya bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa keputusan responden bertarikh 7 Januari 2009, yang melarangnya menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam Herald-The Catholic Weekly adalah melanggar undang-undang.

Pakiam juga memohon perisytiharan beliau berhak menggunakan perkataan ‘Allah’ kerana perkataan itu bukan eksklusif untuk agama Islam.

Tiada ulasan: